Showing posts with label Cerita DOT. Show all posts
Showing posts with label Cerita DOT. Show all posts

Wednesday, February 26, 2014

Lif dan dua jiwa. Satu terasing.

Melati tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:55 pagi. Dia menunggu lif dengan sabar dengan beberapa orang yang lain. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9 sebelum segera ke belakang ruang lif. Kadang-kadang dia hanya meminta, "Tolong tekan tingkat 9, boleh?" dan biasanya diakhiri dengan terima kasih.

Selepas tingkat 6, Melati akan bersendirian di dalam lif dengan seorang jejaka. Wajahnya? Tak tahu. Bentuk tubuhnya? Kurus, mungkin. Kasutnya, hitam berkilat jenama Carlo Rino. Ya. Kasutnya sahaja yang Melati tahu kerana dia selalu memandang ke lantai dan kurang mendongak memandang manusia lain.

Setibanya dia di aras pejabat, Melati terus ke meja dan menghidupkan komputer. Bermulalah kerja Melati sebagai Akauntan. Lepas 5 minit dari jam 5:30, Melati akan mematikan komputer, menutup segala fail di atas meja dan menunggu lif dengan sabar. Melati pasti, apabila pintu lif terbuka nanti pasti ada seorang gadis dan seorang jejaka sedia ada dalam lif itu. Mungkin jejaka yang sama pagi tadi kerana dia juga memakai kasut hitam berkilat jenama Carlo Rino. Melati tinggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Melati setiap hari. Tak pernah berubah. Tak pernah.

*************************************

Adam tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:50 pagi. Dia menunggu gadis berkasut flat coklat gelap dengan sabar. Bila gadis itu tiba, dia cepat-cepat menghampiri gadis itu untuk menunggu lif bersama. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9. Hatinya berbunga apabila suara gadis itu kedengaran mengucapkan terima kasih padanya.

Selepas tingkat 6, Adam akan bersendirian di dalam lif dengan gadis itu. Wajahnya halus mulus dengan pipi yang penuh. Bentuk tubuhnya genit dan sedikit berisi sesuai dengan ketinggiannya. Wangiannya harum, tidak semerbak menyakiti hidung, cukup-cukup sahaja sebagai pewangi tubuh. Bagai nak pecah dada Adam apabila dia mahu menanyakan nama gadis itu. Tapi lidahnya kelu, tubuhnya kaku, walaupun nampak macho dengan kedua-dua tangan diseluk dalam kocek.

Setibanya di aras 9, Adam hanya mampu melihat gadis itu berlalu pergi. Sambil mengeluh, Adam menekan punat bernombor 7 dan menunggu dengan sabar lif bergerak ke aras pejabatnya. Selepas keluar dari lif, dia terus menuju ke meja kerja dan meneliti segala dokumen yang perlu dia tanda tangani. Bermulalah kerja Adam sebagai Pengurus Bahagian Pengeluaran.

Tepat jam 5, penghuni pejabat aras 7 segera menuju ke lif kecuali seorang manusia, Adam. Dia tekun duduk di hadapan komputer ditemani aplikasi FarmVille. Jam 5:30 baru lah dia masuk ke dalam lif yang menuju ke aras-aras atas. Lif akan berhenti di aras 13, masuk seorang gadis. Kemudian aras 9, masuk gadis berkasut flat coklat gelap. Adam senyum. Hatinya ingin sekali mengajak gadis itu keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Sekali lagi Adam melihat gadis itu berlalu pergi dan Adam meninggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Adam setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak pertama kali Adam terpandang gadis itu setahun yang dulu.

*************************************

"Kau balik pukul berapa Adam? Setiap kali aku nak balik mesti kau duk melangut lagi kat meja."
"5:30. Aku main FarmVille ah."
"Woi. Takde manusia dah yang nak main FarmVille. Ke kau nak rebut anugerah employee of the year? Dah habis office hour pukul 5 tu balik je lah kalau taknak jumpa hantu duduk sorang-sorang."

Adam sengih. "Takpe. Hantu tu lawa."























*************************************

Hanim menunggu lif di aras 13 pada jam 5:30 untuk pulang. Di dalam lif akan ada Encik Adam, Pengurus Bahagian Pengeluaran. Mereka sering berjumpa untuk mesyuarat tapi selaku setiausaha, dia merasa segan mahu menegur jejaka tampan itu.

Hatinya ingin sekali mengajak Encik Adam keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Seperti hari-hari yang lain, Hanim melihat sahaja jejaka itu berlalu pergi tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Hanim setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak dia bekerja di situ 9 bulan yang lalu.

Saturday, April 20, 2013

Ini Cerita Kita

Rohani tekan satu persatu butang aksara komputer riba. Cahaya dari komputer riba menerangi bilik yang malap. Hanya gegar roda hamster kedengaran di samping siul burung pulang petang.

Rohani senyum lihat komen kawan di Facebook. Kawan yang sudah lama tak bertemu. Namun masih tak jemu menyingkap memori sambil mengusik.

Tok. Tok. Tok.

“Jap.” Rohani bingkas bangun. Tombol pintu dicapai dan dipulas. Alissa berdiri tegak sambil tersengih setelah pintu dikalih.

“Nak pinjam buku eah?”

Alissa angguk tanpa pudar senyum. “Tak susahkan kak Rohani ke?”

“Taklah.” Rohani capai buku paling tebal. Paling tinggi. Buku beralih tangan pada Alissa. “Kalau simpan pada saya pun nanti berhabuk juga.”

“Eh, tadi saya nampak ada orang lelaki datang jumpa kak. Boyfriend eah?” tegur Alissa sambil senyum mengusik.

Rohani balas senyum Alissa. Siapa tak kenal Alissa. Pelajar tahun satu yang suka mengusik. Sudah takdir Alissa jadi junior kursus dan kolej Rohani. Jadi keraplah Alissa ketemu Rohani. Mula dari urusan kerja akhirnya persahabatan terjalin.

“Thats my boyfriend la,” jawab Rohani tanpa berdalih.

“Oh. Dia tu la Say O tu ye?” Bukan Alissa tak tahu. Nama Say O selalu dititip di garis masa Facebook Rohani. Hanya jasad Say O tidak pernah dilihat.

Rohani angguk mengiya.

“Jadi, ceritalah macam mana jumpa,” arah Alissa tanpa malu.

Mulanya Rohani segan. Lambat-laun Rohani akur. Dia dan Say O bertemu di kelab teater kolej. Asal hubungan kawan biasa, bila sudah kenal mesra terasa. Lambat-laun sayang menjelma. Dan kini sudah lebih dua tahun mengikat cinta.

“Oh, kolej ni ada kelab teater eah?” tanya Alissa dengan mata membulat. “Saya dulu sekolah join teater. Bila matriks dah tak ada. Minat memang minat. Masuk universiti tak jumpa pula persatuan teater.”

“Itu cerita dulu. Kami pernah menang. Pernah kalah. Tapi itu semua dah jadi kenangan.”

“Kak Rohani pernah jadi pengarah?”

Rohani angguk. Memori jadi pengarah tika tahun dua dimainkan dan dilafaz di bibir untuk tatapan imaginasi Alissa. Alissa dengar dengan rasa kagum.

“Seronoknya. Harap-harap akan ada lagi kelab teater macam tu kat kolej ni,” harap Alissa sambil tersenyum pada Rohani.

“Ada atau tak ada terpulanglah. Janji saya ada cerita untuk dikenang. Alissa pun carilah cerita Alissa sendiri. Supaya satu hari nanti Alissa dapat cerita pada junior – macam sekarang – dan boleh tersenyum puas dan bangga.”

Alissa senyum. Rohani senyum.

“Alissa nak dengar lagi?” Alissa angguk setuju.

Wajah-wajah memori melintas laju di minda Rohani. Rohani pejam mata dan ingat satu persatu cerita yang pernah dicerita, tawa yang pernah dirasa, duka yang pernah dikongsi bersama.

Dalam angin petang yang berderu, cerita lama dikenang semula. Dalam rindu yang penuh syahdu, senyum dan tawa dekat terasa.

fin.

Sunday, April 14, 2013

Syana Si Saintis Sewel

Karl menoleh kiri dan kanan. Suasana makmal yang bersih dan steril itu hanya dicemari bunyi dengungan pendingin hawa. Tiada jasad hidup yang berada di situ. Hanya objek pegun seperti bikar, buret dan spatula. Peluang!

“Tia, ini peluang kita. Kita perlu larikan diri secepat mungkin sebelum saintis gila tu balik.”

“Kau pergilah dulu, Karl,” jawab Tia tidak bermaya.

Karl memandang kasihan kekasihnya itu. “Tak Tia. Kita pergi sama-sama. Macam filem Titanic, you jump I jump kan? Bukankah itu azimat kita selama ini?”

Tia tersenyum kecil. “Ya, Karl. Tapi kau lupa di hujung cerita Titanic si kekasih mati untuk kekasihnya yang lagi satu. Pergilah Karl. Ini peluang kau. Kau harus hidup. Demi aku. Demi mama, papa dan Rosella.”

Karl tertunduk menahan sebak. Papa, mama dan Rosella – adik perempuan Tia – telah lama meninggal dunia setelah overdose bahan kimia dan dibedah hidup-hidup. Sudahlah disuntik dengan pelbagai bahan kimia berbahaya, dipancarkan pula dengan sinar radioaktif dalam dos yang tinggi.

Karl tidak tahu apa kajian saintis gila yang bernama Syana – seorang saintis yang gemar mendengar jeritan mangsanya ketika dihiris hidup-hidup - itu. Namun dia sedar, jika dia terus berada di situ dia tidak akan dapat melihat sinar mentari keesokan harinya.

“Baiklah Tia. Tapi aku janji, aku akan kembali untuk mendapatkan kau,” kata Karl walaupun dia sedar ini adalah kali terakhir dia melihat Tia.

Bye sayang, kata Karl di dalam hati. Dengan sepenuh kudrat Karl menghempas pintu bilik kurungannya. Nasibnya baik, saintis makmalnya sedikit cuai, pintunya tidak dikunci dengan kemas. Setiap kali hempasan Karl berjaya membuka sedikit demi sedikit pintu bilik kurungannya.

Tiba-tiba pintu makmal berbunyi. Perlahan-lahan ia dikuak. Saintis gila itu sudah pulang!

Karl harus pantas. Dia menumpukan seluruh tenaganya pada hempasannya kali ini. PANG! Pintu bilik kurungan nyaris terbuka.

Pintu makmal sudah dibuka. Syana – saintis gila itu mengambil kot makmal yang telah dicemari darah mangsa-mangsanya. Dia mengenakan kot makmal tersebut sambil membetul-betulkan bibirnya yang senget.

“Jadi hari ini, marilah kita berpesta darah lagi atas nama sains dan kemajuan!” jerit Syana sekuat hati sambil disahut bunyi muzik saspens yang dimainkan di dalam minda.

Syana menghampiri bilik kurungan Karl dan Tia. Dia membelek mangsanya. Syana mengecilkan matanya.

Mangsanya hanya tinggal satu!

“Jahanam! Mana pergi tikus aku lagi seekor ni?” jerit Syana sekuat hati sambil mengambil Tia untuk dibelah hidup-hidup.

Wednesday, January 16, 2013

Salah Siapa?


“Yup. Aku gay,” kata Iskandar sambil tersenyum.

Suasana di meja petak itu jadi hening serta merta. Masa seakan-akan berhenti bergerak antara kami. Suasana kedai mamak yang tadinya bising menjadi sunyi sepi. Malah, aku percaya aku dapat mendengar setiap nafas yang dihela dan dihirup pelanggan kedai mamak ini.

Aku memandang Ismeth dengan jelingan ‘babi, pehal kau tanya soalan macam ni, kan dah jadi awkward’ dan Ismeth membalas dengan pandangan ‘manalah aku tahu’. Aku cuba memandang ke arah Iskandar – dengan sedaya upaya cuba mengelak dari melihat matanya – dan aku dapati dia masih lagi tersenyum.

Misai dan jambang Iskandar bergetar-getar dan aku percaya senyuman itu bukanlah senyuman yang ikhlas dari hati.

Celaka. Semuanya bermula apabila Ariff datang dan menceritakan pengalaman dia semasa di Kem Bina Negara. Kata Ariff, pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika bermain True or Dare bersama rakan-rakan dan salah seorang dari rakan mereka telah dicabar untuk menunjukkan manboobs-nya pada mana-mana wanita yang lalu di hadapan kotej mereka.

Aku, Iskandar, Ismeth dan Ijan gelak besar mendengar cerita Ariff yang diselakan dengan lakonan dan mimik muka spastiknya. Nasib baik aku sempat menghalang dia dari melakonkan adegan manboobs (Ariff telah mula menarik bajunya ke atas) tersebut.

“Jadi apa kata kita cuba main True or Dare juga?” cadang Ijan.

Semua orang bersetuju tanpa berfikir panjang.

Kami memutarkan garfu untuk menentukan giliran. (Apabila sampai giliran Ismeth memutarkan garfu tersebut, dia memutarkannya sehingga garfu tersebut terpelanting dan terkena punggung salah seorang mamak yang bertugas. Keadaan jadi kekok kerana mamak tersebut mengesyaki Ariff cuba merabanya.)

Apabila sampai giliran Iskandar, Ismeth terus mengajukan soalan ‘hang gay ka?’ yang menjurus pada suasana kekok ini.

Mata aku, Ismeth, Ariff dan Ijan saling beralih pandang. Masing-masing cuba menyalahkan satu sama lain. Jika Ariff tidak datang bercerita tentang permainan bodoh ini, pasti kami tidak kenal permainan ini. Jika Ijan pula tidak mengajak kami bermain True or Dare ini, mana mungkin soalan ini akan terpacul keluar. Dan oh ya, si bodoh Ismeth yang bertanya soalan yang mendatangkan suasana kekok ini.

Jadi aku tanya kamu semua, salah siapa?

Sudah tentu bukan salah aku yang dari kecil memanggil Iskandar dengan nama Azizah, bukan?

fin.

Monday, December 31, 2012

Palie, Sebilah Pedang Samurai dan 6 Zombie Tangkas


Kata orang ada 6 tahap kesedihan (yang melibatkan kematian). Ianya bermula dengan kejutan, penafian, kemarahan, proses menawar, depresi dan penerimaan.

Palie tak tahu dendam berada di tahap yang mana. Dia cuma mahu membalas dendam di atas kematian isterinya.

Segalanya berlaku dengan terlalu cepat. Kematian Rozana tak sempat dia tanggisi, tak sempat dia ratapi.

Bau ros minyak wangi Rozana masih bermain di hidung Palie. Palie menghunuskan pedang samurai yang diambil dari loteng rumah. Pedang samurai itu berkilau di bawah sinar mentari. Cecair merah pekat menitis-nitis dan hujung pedang tersebut.

Pedang samurai yang ditempa pada era Meiji itu seakan-akan berdengung dahagakan darah. Enam zombie yang sedang meratah tubuh badan Rozana mengalihkan perhatian pada Palie. Konco-konco mereka - Kelawar Syaitan yang boleh memuntahkan asid - sudah habis dipancung oleh Palie. Hanya tinggal zombie tersebut.

Palie membuka baju kemejanya yang sudah berlumuran darah. Lukisan seekor naga sedang membaham ikan emas terukir di belakang badan Palie. Mata naga itu menyorot ganas memandang ke infiniti.

Palie membetulkan kekudanya. Pedang samurainya dihunus rapi. Air matanya sudah kering.

Palie bergerak laju. Zombie pertama tidak bersedia. Palie pancung tangan, kaki dan kepala dalam sekali jurus. Zombie kedua dan ketiga bergerak laju ke arah belakang Palie. Gigi dan kuku tajam dihunus pada Palie.

Palie melompat. Dia menghunus pedangnya dengan sepantas kilat! Bumi terbelah dua. Namun 3 zombie lagi sempat melompat ke udara.

Zombie keempat bergerak di utara menghampiri Palie. Palie sedar perlawanan di udara tidak akan memihak padanya. Lantas Palie hanya mampu bertahan semasa dipukul zombie tersebut.

Palie rebah. Tiga zombie tersebut mengepung Palie. Palie tenang.

"Kamu sudah terkena jurus 19 saat aku," kata Palie tenang. "5..4..3..2.."

Tiga zombie menerkam ke arah Palie. Palie tenang sambil memasukkan pedang samurai ke dalam sarungnya semula.

"1!!!!"

Tubuh badan ketiga-tiga zombie berkecai menjadi cebisan kecil.

***

Palie menghampiri tubuh isterinya. Palie tahu isterinya akan hidup semula menjadi zombie.

Palie menghunuskan pedangnya dan....


fin.

Wednesday, December 19, 2012

Cikgu Rohani



"ISKANDAR!!!!"


Tersentak Iskandar mendengar jeritan bingit yang dilaungkan dari pintu masuk kelas 5 Ekstravaganza. Dalam keadaan separa mamai Iskandar melompat ke belakang sambil membuka langkah silat. Matanya melilau mencari punca suara bingit yang hampir memecahkan gegendang telinga.

Di pintu masuk kelas 5E, berdiri dengan baju kurung warna kuning cair dengan corak pokok paku pakis warna hijau adalah Cikgu Rohani. Mata Cikgu Rohani menyorot ganas ke arah Iskandar menembusi kaca mata bingkai tebal yang dipakainya.

Seluruh kelas duduk terdiam merasakan aura marah Cikgu Rohani. Ismeth sudah mula kencing dalam seluar. Ilya pula dalam dilema mahu telan atau luah biskut Marie yang di dalam mulut. 

"Awak tidur eah?" Suara Cikgu Rohani ibarat getar sangkakala yang beralun membawa irama maut melintas ruang kelas 5E. Iskandar hanya mampu menelan air liur di rengkung.

"Dah. Pergi buat push up di luar!" arah Cikgu Rohani pada Iskandar.

Iskandar, jaguh gusti lengan peringkat sekolah, gangster 5 kawasan setempat dan juara lompat galah sebanyak 2 tahun berturut-turut hanya mampu menurut.

Iskandar berdiri di luar kelas. Matanya memandang Cikgu Rohani dengan nada protes. Cikgu Rohani membalas pandangan Iskandar. Sepintas lalu Iskandar meniarap melakukan tekan tubi.

***

"Ni hang awat berlengaih sangat ni? Kena denda pumping lagi?" tanya ayah Iskandar di sebalik surat khabar New Straits Time.

Iskandar hanya mendengus protes dan bergerak masuk ke dalam biliknya.

Iskandar menghempaskan beg galas yang terlukis gambar Goku di atas katil. Dari dalam bilik, dia dengar suara ayah dan ibunya sedang berbual.

"Awat dengan budak tu hari ni?"

"Tidoq dalam kelas lagi la bang."

"Hahaha, ya ka? Abang dulu tak pernah pun tidoq dalam kelas." Ayahnya cuba berlagak dengan ibunya. Iskandar tahu, ayahnya sedang tipu.

"Tipu lah. Bukan saya tak tahu perangai awak. Dia ikut perangai awak la tu."

"Eh, awat pula?"

"Itu la saya kata, bila dapat anak dulu tak elok bagi nama sama nama awak. Ni dah ikut perangai awak ni macam mana?"

"Alah, comel apa? Iskandar Zulkarnain Junior bin Iskandar Zulkarnain Senior."

Iskandar dapat membayangkan ibunya hanya menggelengkan kepala mendengar kata-kata ayahnya tu. Tapak kaki ibunya diatur ke arah biliknya. 

Tok. Tok. Tok.

"Is!!! Mandi dulu tau!!! Jangan tidur lagi!" jerit suara bingit yang mendendanya pagi tadi.

fin.

Thursday, October 18, 2012

Cerita DOT #3 : Atlet


Titisan jernih mula kelihatan di pelipis si gadis. Air liur yang bergumpal di rengkung cuba ditelannya dalam keadaan payah. Jari-jarinya yang menggeletar digenggam sekuat hati.

Si gadis memejamkan mata seakan cuba mengasingkan diri dari dunia.

***

“Kau tu perempuan! Kau balik rumah masak nasi la!” ejek Rudy sambil mendengus pada si gadis.

Si gadis pejam mata. Tangan genggam pen dan sehelai kertas yang tertulis “BORANG KEAHLIAN KELAB OLAHRAGA”.

***

Dari jauh, gema suara yang berlatar bunyi statik menyebut nombor yang dikepil pada dada si gadis.

“1357!”

Si gadis buka mata semula.

***

“Abang tak berapa suka la along masuk sukan sebenarnya. Tiap hari dari pagi ke petang kat sekolah, dia tu perempuan,” kata Haji Rahman sambil membetulkan kaca matanya.

“Biarlah bang. Dah minat dia,” Hajjah Senah cuba mempertahankan anak sulungnya.

“Bukan apa Senah oi. Dia tu perempuan, ni duk melompat tertonggek sana-sini dengan budak-budak laki. Tak elok la,” kata Haji Rahman lagi.

Di sebalik pintu yang sedikit terbuka si gadis berdiri dengan mata berkaca.

***

Si gadis memulakan larian. Makin lama makin dekat. Makin lama makin pantas.

Si gadis melompat.

***

“Semua orang tak suka saya masuk lompat tinggi, tok,” adu si gadis pada Tok Penghulu.

Tok Penghulu senyum.

“Semua orang kena buat pilihan. Kadang-kadang benda yang orang tak suka tu la haluan hidup kita,” kata Tok Penghulu.

“Cuma satu saja la. Nazirah kena berani ke depan. Jangan takut,” kata Tok Penghulu sambil senyum.

***

Langit hari ini tampak biru.

Olah tubuh si gadis melengkung cantik menjangkaui palang tinggi yang menjadi halangan. Masa seolah-olah terhenti melihat si gadis jatuh perlahan-lahan ke atas tilam tebal warna biru di sebelah sana.

Si gadis pejam mata sambil terbaring.

Gegak gempita sorak mula kedengaran. Nama si gadis disebut orang ramai. Makin lama makin kuat.

Si gadis buka mata.

fin.

Tuesday, October 16, 2012

Cerita DOT #2 : Rumah di Pinggir Kampung 6


Rumah di pinggir kampung itu menyimpan 1001 rahsia, persoalan dan tragedi. Segala-galanya bermula di rumah usang di pinggir kampung itu dan dengan kuasa tuhan, segala-galanya akan berakhir pada malam ini.

Bunyi dentuman bergegar kuat apabila Faizal jatuh menyembah lantai rumah itu. Mentol yang menerangi ruang rumah bergoyang perlahan dan menampilkan cahaya dan kegelapan dalam keadaan yang bergilir-gilir.

Sham melurut buku limanya. Giginya dikertap menahan geram melihat syaitan bertopengkan manusia di hadapannya.

“Apa yang kau buat ni hah, babi!? Kau cakap kau nak lindungi dia!” teriak Sham. Gadis muka herot yang berada di atas katil dalam keadaan berbogel hanya memandang kosong peristiwa yang terjadi di hadapannya.

“BABI!”

Satu lagi tumbukan hinggap ke muka Faizal. Sekali lagi dia jatuh terduduk ke lantai kayu rumah itu.

“Cukup! Tolong, tolong! Cukup! Tolong, tolong jangan pukul aku lagi,” rayu Faizal sambil memeluk kaki Sham.

“Orang macam kau ni elok mati je, setan!” tengking Sham sambil menendang tubuh kurus Faizal.

“Sham! Enough! Kita bawa dia ke balai je, please,” rayu Diana yang berada di hadapan bilik Ani.

“Tolong! Tolong! Jangan bawa aku ke balai, nanti siapa nak jaga Ani lagi. Tolong la, tolong,” rayu Faizal lagi pada Sham. Air mata berderu-deru keluar dari matanya.

“Macam ni ke kau jaga dia!? Arghhh!!!”

Sham berteriak lantang, wajahnya merah padam menahan geram. Badan faizal dihinjak kuat menggunakan kakinya. Setelah Faizal jatuh terlentang, Sham bertubi-tubi menghayunkan penumbuk ke arah muka Faizal. Tubuh Faizal yang kurus itu ternyata bukan lawan Sham

“Oh my god! Cukup, Sham! Cukup! Mati dia tu nanti!” teriak Diana. Matanya mula berkaca menahan ketakutan.

“Biar dia mati! Biar dia mati!!! Arghhhh!!!!” teriak Sham. Perasaan marah sudah menguasai dirinya di kala itu. Dia bertubi-tubi menghayun penumbuk pada Faizal tanpa mengira penat dan keluh sakit abangnya itu.

PAK!

Tiba-tiba Sham merasa pedih di belakang kepalanya. Dia menoleh ke belakang, kelihatan di dalam kesamaran malam satu susuk tubuh wanita di belakangnya.

Sebelum Sham sempat menyesuaikan dirinya dalam suasana malap itu, susuk tubuh itu mengangkat tangannya ke udara dan menghayun sesuatu dengan pantas. Dahi Sham memercik cecair panas warna merah gelap. Mata Sham kian kabur. Wanita itu sekali lagi menghayun ke arah kepala Sham.

PAK! PAK! PAK!

Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Tiada apa yang dapat dilakukan Diana. Dalam sekelip mata gadis yang tadinya berada di atas katil itu kini berada di belakang Sham yang pada masa itu sedang rakus membelasah Faizal. Tanpa seutas benang pun pada tubuhnya, si gadis menghayun sebatang kayu yang dibawanya ke kepala Sham. Setelah Sham melepaskan rangkulannya pada Faizal, gadis itu bertubi-tubi menghentak kepala Sham dengan batang kayu itu hingga jasad Sham terkulai kaku di hadapan Diana.

Kaki Diana menggeletar melihat tragedi ngeri yang berlaku di hadapannya. Air matanya berderu-deru keluar menahan ketakutan.

Hayunan kayu gadis yang berbogel itu pada Sham masih belum mahu berhenti. Entah apa sebabnya dia begitu membenci Sham. Ketika itu terlintas sepintas lalu di fikiran Diana, mungkin, mungkin gadis itu cuba untuk melindungi Faizal.

“Dah, dik. Dah. Shuuuu,” Faizal memeluk erat gadis itu. Seraya itu, gadis itu mula menenangkan dirinya.

“Ya kul Jal. Ni ak uke,” mulut si gadis berkumat-kamit meluahkan kata-kata yang seakan-akan terlalu sukar untuk dilafazkan.

Dia pukul Faizal. Ani tak suka.

“Ok. Ok. Dah tak ada apa-apa dah. Shuuuu, dah dah. Pejal sayang Ani tau,” bisik Faizal di telinga si gadis.

“Ni yang Jal gak.”

Ani sayang Pejal juga.

Hakikatnya lebih 20 tahun lalu, mak 3 beradik ini memang menyaksikan peristiwa jijik itu di bilik itu. Namun sebenarnya, si ayah bukan seorang melakukan perbuatan keji itu. Anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun turut serta kerana janjinya pada si ayah kalau dia ikut sekali perbuatan itu, si ibu tidak akan dimaklumkan perihal itu.

Esoknya si ibu pergi meninggalkan rumah.

Ani, yang membesar dalam jiwa seorang kanak-kanak tidak tahu yang mana betul atau salah, menjadi hamba seks dua beranak itu sehingga usianya sekarang. Dalam mindanya, inilah cara abang dan ayahnya menyayanginya.

Faizal mengambil kayu dari genggaman tangan Ani. Dia berdiri dan melangkah ke arah Diana.

Mata Diana memicing halus. Mukanya merah padam menahan ketakutan.

Faizal menghayunkan kayu itu ke pelipis Diana.

Sepintas lalu, dalam minda Diana, dia terlihat meja makan yang dihidang seekor ikan besar dengan sos warna merah. Ikan siakap 3 rasa itu meluahkan wap panas ke udara.

PAK!

Gelap.

fin.