Saturday, December 11, 2010

Pendekar Afro: Sebuah Permulaan

Slrpp.. Panas. PAK! Terpatah dua bahagian roti kering. Dicicah dengan air teh tarik laici yang panas. Sedap bersarapan di pagi yang indah.

Diluruskan kaki, niat di hati mahu merenggangkan otot yang lenguh.

PANG!!

Tenang, tanpa memandang, sepantas kilat dilayangkan sebahagian roti kering yang belum sempat dijamah ke udara. Terpantul serpihan kaca itu ke arah kastemer di meja depan. Tersadai beliau di atas pinggan megi goreng yang sudah sejuk berlumuran darah.

" Hmm. Masalah keluarga pun nak setel diluar. ", bisik di dalam hati.

Berbisik tentang keluarga, teringat pula kepada keluarga yang telah lama ditinggalkan sejak mula mengembara. Bukan sengaja mahu meninggalkan mereka, tapi apakan daya, perlu mencari apa yang mesti dicari. Akan pulang semula setelah selesai segala urusannya.

Itu janji yang akan dikotakan.

"Huh, jurus Langkah Kilat? Bukan calang-calang orang bersarapan di sini." bisik hati.

Hampir 2 saat cubaan mengusya pengguna jurus itu, tiba-tiba, terasa tenaga batin yang gelap di atas atap.

"Ah, mereka lagi. Apa yang sebenarnya mereka mahukan." berbisik lagi hati.

5 orang semuanya. 4 orang masing-masing di tepi atap. Seorang ditengah. Betul-betul di atas kepala.

"5 orang pula. Mereka fikir jumlah itu cukup untuk mendapatkan kepala orang yang mereka cari-cari ini. Heh. Nak dapat secebis bulu roma pun, belum cukup mereka bawa satu negeri pun mencari hamba." bisik hati dengan nada sinis.

Menggunakan jurus yang sama, Langkah Kilat, kini 6 orang semuanya di atas atap. Orang yang mereka cari kini berada di atas atap yang sama.

Belum sempat 5 orang tadi perasan orang yang ke-6 itu, sudah hilang nyawa-nyawa masing-masing.

Tak ada bunyi ZAS! Tak ada bunyi PIU! Tak ada bunyi BOOM!

Sunyi. Berhujanan darah turun dari langit.

Baru terfikir mahu mula berjalan semula.

"Ah, lupa. Belum dibayar sarapan tadi." sambil mula melangkah turun dari atap.

Sambil mengira syiling, terpandang orang di depan yang memegang beg plastik di depan kaunter.

" Lu pehal?! " kata orang itu dengan garang sambil membetulkan tudung yang terlipat.



tbc.