Wednesday, February 26, 2014

Lif dan dua jiwa. Satu terasing.

Melati tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:55 pagi. Dia menunggu lif dengan sabar dengan beberapa orang yang lain. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9 sebelum segera ke belakang ruang lif. Kadang-kadang dia hanya meminta, "Tolong tekan tingkat 9, boleh?" dan biasanya diakhiri dengan terima kasih.

Selepas tingkat 6, Melati akan bersendirian di dalam lif dengan seorang jejaka. Wajahnya? Tak tahu. Bentuk tubuhnya? Kurus, mungkin. Kasutnya, hitam berkilat jenama Carlo Rino. Ya. Kasutnya sahaja yang Melati tahu kerana dia selalu memandang ke lantai dan kurang mendongak memandang manusia lain.

Setibanya dia di aras pejabat, Melati terus ke meja dan menghidupkan komputer. Bermulalah kerja Melati sebagai Akauntan. Lepas 5 minit dari jam 5:30, Melati akan mematikan komputer, menutup segala fail di atas meja dan menunggu lif dengan sabar. Melati pasti, apabila pintu lif terbuka nanti pasti ada seorang gadis dan seorang jejaka sedia ada dalam lif itu. Mungkin jejaka yang sama pagi tadi kerana dia juga memakai kasut hitam berkilat jenama Carlo Rino. Melati tinggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Melati setiap hari. Tak pernah berubah. Tak pernah.

*************************************

Adam tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:50 pagi. Dia menunggu gadis berkasut flat coklat gelap dengan sabar. Bila gadis itu tiba, dia cepat-cepat menghampiri gadis itu untuk menunggu lif bersama. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9. Hatinya berbunga apabila suara gadis itu kedengaran mengucapkan terima kasih padanya.

Selepas tingkat 6, Adam akan bersendirian di dalam lif dengan gadis itu. Wajahnya halus mulus dengan pipi yang penuh. Bentuk tubuhnya genit dan sedikit berisi sesuai dengan ketinggiannya. Wangiannya harum, tidak semerbak menyakiti hidung, cukup-cukup sahaja sebagai pewangi tubuh. Bagai nak pecah dada Adam apabila dia mahu menanyakan nama gadis itu. Tapi lidahnya kelu, tubuhnya kaku, walaupun nampak macho dengan kedua-dua tangan diseluk dalam kocek.

Setibanya di aras 9, Adam hanya mampu melihat gadis itu berlalu pergi. Sambil mengeluh, Adam menekan punat bernombor 7 dan menunggu dengan sabar lif bergerak ke aras pejabatnya. Selepas keluar dari lif, dia terus menuju ke meja kerja dan meneliti segala dokumen yang perlu dia tanda tangani. Bermulalah kerja Adam sebagai Pengurus Bahagian Pengeluaran.

Tepat jam 5, penghuni pejabat aras 7 segera menuju ke lif kecuali seorang manusia, Adam. Dia tekun duduk di hadapan komputer ditemani aplikasi FarmVille. Jam 5:30 baru lah dia masuk ke dalam lif yang menuju ke aras-aras atas. Lif akan berhenti di aras 13, masuk seorang gadis. Kemudian aras 9, masuk gadis berkasut flat coklat gelap. Adam senyum. Hatinya ingin sekali mengajak gadis itu keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Sekali lagi Adam melihat gadis itu berlalu pergi dan Adam meninggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Adam setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak pertama kali Adam terpandang gadis itu setahun yang dulu.

*************************************

"Kau balik pukul berapa Adam? Setiap kali aku nak balik mesti kau duk melangut lagi kat meja."
"5:30. Aku main FarmVille ah."
"Woi. Takde manusia dah yang nak main FarmVille. Ke kau nak rebut anugerah employee of the year? Dah habis office hour pukul 5 tu balik je lah kalau taknak jumpa hantu duduk sorang-sorang."

Adam sengih. "Takpe. Hantu tu lawa."























*************************************

Hanim menunggu lif di aras 13 pada jam 5:30 untuk pulang. Di dalam lif akan ada Encik Adam, Pengurus Bahagian Pengeluaran. Mereka sering berjumpa untuk mesyuarat tapi selaku setiausaha, dia merasa segan mahu menegur jejaka tampan itu.

Hatinya ingin sekali mengajak Encik Adam keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Seperti hari-hari yang lain, Hanim melihat sahaja jejaka itu berlalu pergi tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Hanim setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak dia bekerja di situ 9 bulan yang lalu.

Tuesday, December 31, 2013

KL-nian

Kuala Lumpur makin meriah.
Warga Nepal tidak lupa untuk memeriahkan ibu kota dengan berjalan-jalan bersama rakan-rakan sebilik di pusat beli belah di Kuala Lumpur.
Pada jam 12:01 am si dia, dia and dia akan sama-sama mendongak ke langit yang penuh dengan bunga api berwarna-warni. 
Dengan harapan suatu hari nanti akan ku bawa orang yang paling sayangi ke sini.

Sunday, July 14, 2013

Misteri #1 DOT

#Pengenalan

Dato Onn's Theatre (harap tidak menyinggung mana-mana Dato yang masih hidup atau telah lama meninggal dunia) atau lebih dikenali dan kini sentiasa ingin dikenali sebagai DOT adalah satu kelab seni teater yang sentiasa dihantui pelbagai misteri dan kontroversi.

Kalau kita nak merungkai kat entri ni setiap satu misteri yang wujud dalam DOT, solat sunat terawih campur tazkirah akan habis lama sebelum habis 1/3 rungkaian sesuatu misteri . Kalau kat Pahang, mungkin 1/5 ja sempat rungkai misteri, sebab harom buat tazkirah.

Samada misteri kisah cinta berantai Palie, atau ke kontroversi lu-sapa-kacau-awek-gua? hinggalah ke misteri Arahtuju Kerjaya Kimie.

Namun dalam segala misteri itu, tiadalah yang lebih agung atau maha karya misterinya atau kalau dalam Pacific Rim, ia mungkin kategori misteri tahap rupa Kaiji peringkat akhir 'Penaklukan' yang tak ada dalam movie tu, selain dari misteri...

Sunday, June 9, 2013

Awak tahu tak, saya sayang?

2009
Outing | Times Square

Production | Taste Of Life

Gathering | Buka puasa

Production | Taste Of Life

Gathering | My open house

Gathering | Main mercun dan bunga api

Production | Boria

Outing | The Mines


2010

Production | Antara Dua Darjat

Outing | Kajang

Gathering | Dinner kolej

Production | Love Suicide

Outing | Sungai Gabai

Outing | Melaka-PD

Production | Boria

Gathering | Open house kolej

Outing | Melaka-PD


2011

Gathering | Dinner kolej

Production | The Gallow


2012

Production | Peristiwa Di Zoo

Gathering | Dinner kolej

Outing | Melawat baby Fatin

...and lastly
2013

Outing | DOT Summer Camp







Semakin berat hati nak tinggalkan UKM kerana DOT.

Thursday, June 6, 2013

Hello! Hello? Helllooo?


Lama dah tak jenguk blog ni. Korang semua masih hidup lagi?

Don't worry, nanti lepas Sabtu ni insyallah ada update.

Selamat study, selamat main game, selamat jaga kucing, selamat jaga hamsters, selamat jaga baby tersayang, selamat bekerja!

Saturday, April 20, 2013

Ini Cerita Kita

Rohani tekan satu persatu butang aksara komputer riba. Cahaya dari komputer riba menerangi bilik yang malap. Hanya gegar roda hamster kedengaran di samping siul burung pulang petang.

Rohani senyum lihat komen kawan di Facebook. Kawan yang sudah lama tak bertemu. Namun masih tak jemu menyingkap memori sambil mengusik.

Tok. Tok. Tok.

“Jap.” Rohani bingkas bangun. Tombol pintu dicapai dan dipulas. Alissa berdiri tegak sambil tersengih setelah pintu dikalih.

“Nak pinjam buku eah?”

Alissa angguk tanpa pudar senyum. “Tak susahkan kak Rohani ke?”

“Taklah.” Rohani capai buku paling tebal. Paling tinggi. Buku beralih tangan pada Alissa. “Kalau simpan pada saya pun nanti berhabuk juga.”

“Eh, tadi saya nampak ada orang lelaki datang jumpa kak. Boyfriend eah?” tegur Alissa sambil senyum mengusik.

Rohani balas senyum Alissa. Siapa tak kenal Alissa. Pelajar tahun satu yang suka mengusik. Sudah takdir Alissa jadi junior kursus dan kolej Rohani. Jadi keraplah Alissa ketemu Rohani. Mula dari urusan kerja akhirnya persahabatan terjalin.

“Thats my boyfriend la,” jawab Rohani tanpa berdalih.

“Oh. Dia tu la Say O tu ye?” Bukan Alissa tak tahu. Nama Say O selalu dititip di garis masa Facebook Rohani. Hanya jasad Say O tidak pernah dilihat.

Rohani angguk mengiya.

“Jadi, ceritalah macam mana jumpa,” arah Alissa tanpa malu.

Mulanya Rohani segan. Lambat-laun Rohani akur. Dia dan Say O bertemu di kelab teater kolej. Asal hubungan kawan biasa, bila sudah kenal mesra terasa. Lambat-laun sayang menjelma. Dan kini sudah lebih dua tahun mengikat cinta.

“Oh, kolej ni ada kelab teater eah?” tanya Alissa dengan mata membulat. “Saya dulu sekolah join teater. Bila matriks dah tak ada. Minat memang minat. Masuk universiti tak jumpa pula persatuan teater.”

“Itu cerita dulu. Kami pernah menang. Pernah kalah. Tapi itu semua dah jadi kenangan.”

“Kak Rohani pernah jadi pengarah?”

Rohani angguk. Memori jadi pengarah tika tahun dua dimainkan dan dilafaz di bibir untuk tatapan imaginasi Alissa. Alissa dengar dengan rasa kagum.

“Seronoknya. Harap-harap akan ada lagi kelab teater macam tu kat kolej ni,” harap Alissa sambil tersenyum pada Rohani.

“Ada atau tak ada terpulanglah. Janji saya ada cerita untuk dikenang. Alissa pun carilah cerita Alissa sendiri. Supaya satu hari nanti Alissa dapat cerita pada junior – macam sekarang – dan boleh tersenyum puas dan bangga.”

Alissa senyum. Rohani senyum.

“Alissa nak dengar lagi?” Alissa angguk setuju.

Wajah-wajah memori melintas laju di minda Rohani. Rohani pejam mata dan ingat satu persatu cerita yang pernah dicerita, tawa yang pernah dirasa, duka yang pernah dikongsi bersama.

Dalam angin petang yang berderu, cerita lama dikenang semula. Dalam rindu yang penuh syahdu, senyum dan tawa dekat terasa.

fin.

Sunday, April 14, 2013

Syana Si Saintis Sewel

Karl menoleh kiri dan kanan. Suasana makmal yang bersih dan steril itu hanya dicemari bunyi dengungan pendingin hawa. Tiada jasad hidup yang berada di situ. Hanya objek pegun seperti bikar, buret dan spatula. Peluang!

“Tia, ini peluang kita. Kita perlu larikan diri secepat mungkin sebelum saintis gila tu balik.”

“Kau pergilah dulu, Karl,” jawab Tia tidak bermaya.

Karl memandang kasihan kekasihnya itu. “Tak Tia. Kita pergi sama-sama. Macam filem Titanic, you jump I jump kan? Bukankah itu azimat kita selama ini?”

Tia tersenyum kecil. “Ya, Karl. Tapi kau lupa di hujung cerita Titanic si kekasih mati untuk kekasihnya yang lagi satu. Pergilah Karl. Ini peluang kau. Kau harus hidup. Demi aku. Demi mama, papa dan Rosella.”

Karl tertunduk menahan sebak. Papa, mama dan Rosella – adik perempuan Tia – telah lama meninggal dunia setelah overdose bahan kimia dan dibedah hidup-hidup. Sudahlah disuntik dengan pelbagai bahan kimia berbahaya, dipancarkan pula dengan sinar radioaktif dalam dos yang tinggi.

Karl tidak tahu apa kajian saintis gila yang bernama Syana – seorang saintis yang gemar mendengar jeritan mangsanya ketika dihiris hidup-hidup - itu. Namun dia sedar, jika dia terus berada di situ dia tidak akan dapat melihat sinar mentari keesokan harinya.

“Baiklah Tia. Tapi aku janji, aku akan kembali untuk mendapatkan kau,” kata Karl walaupun dia sedar ini adalah kali terakhir dia melihat Tia.

Bye sayang, kata Karl di dalam hati. Dengan sepenuh kudrat Karl menghempas pintu bilik kurungannya. Nasibnya baik, saintis makmalnya sedikit cuai, pintunya tidak dikunci dengan kemas. Setiap kali hempasan Karl berjaya membuka sedikit demi sedikit pintu bilik kurungannya.

Tiba-tiba pintu makmal berbunyi. Perlahan-lahan ia dikuak. Saintis gila itu sudah pulang!

Karl harus pantas. Dia menumpukan seluruh tenaganya pada hempasannya kali ini. PANG! Pintu bilik kurungan nyaris terbuka.

Pintu makmal sudah dibuka. Syana – saintis gila itu mengambil kot makmal yang telah dicemari darah mangsa-mangsanya. Dia mengenakan kot makmal tersebut sambil membetul-betulkan bibirnya yang senget.

“Jadi hari ini, marilah kita berpesta darah lagi atas nama sains dan kemajuan!” jerit Syana sekuat hati sambil disahut bunyi muzik saspens yang dimainkan di dalam minda.

Syana menghampiri bilik kurungan Karl dan Tia. Dia membelek mangsanya. Syana mengecilkan matanya.

Mangsanya hanya tinggal satu!

“Jahanam! Mana pergi tikus aku lagi seekor ni?” jerit Syana sekuat hati sambil mengambil Tia untuk dibelah hidup-hidup.