Wednesday, March 3, 2010

Air Mata Malam Jumaat

Karya Asal : Wann Afzan


Hari ni hari Khamis. Nak tak nak esok mesti hari Jumaat. Dan kalau dah hari Jumaat mesti dapat jumpa dia lagi. Rasa macam dah lama sangat tak jumpa dia . Dan dia pun asyik marah-marah saja sebab aku dah lama tak jumpa dia. Tapi, aku bukan sengaja tak nak jumpa dia, aku sibuk.

Namun seteruk manapun dia marah dengan aku, aku sedar dia memang sayang gila dengan aku.

______________________________

Bila aku jumpa dia, aku mesti rasa nak peluk cium dia puas-puas dan tak mahu lepas. Tapi realitinya tak. Aku jumpa dia. Aku senyum. Sebab? Ego. Dalam telefon aku selalu cakap “Love you!! Muah muah!”. Tapi bila di depan, aku masih dengan gaya cool aku. Ego.

Namun sehebat manapun ego aku dengan dia, aku sedar dia memang sayang gila dengan aku.

______________________________

Kawan-kawan aku selalu cakap, “Kau ni mesti manja dengan dia kan?”. Aku pula mesti jawab lepas tu, “Mana ada! Dia yang nak manjakan aku.” Ego lagi. Itulah dia. Bila bersama dengan dia aku jadi segan. Yelah, segan. Malu la nak manja-manja depan orang ramai, kawan-kawan dia dan aku. Malu la aku. Tapi dia tak pernah malu nak pegang tangan aku depan orang ramai. Dia tak pernah malu nak betulkan tudung aku depan kawan-kawan dia. Aku terharu. Sebab aku sebenarnya suka dia manjakan aku walaupun aku dah biasa hidup dalam dunia ego yang dah tak perlu dimanjakan dia.

Namun sejauh mana sekalipun aku menafikan yang aku sangat menagihkan belaian dia, aku sedar dia memang sayang gila dengan aku.

______________________________

Dia juga sangat suka belikan barang untuk aku. Baju, selendang, malah barang keperluan aku pun dia sanggup bayarkan untuk aku. Walaupun masa tu dah hujung bulan. Walaupun dompet dia pada masa tu lagi banyak partikel habuk dari not-not merah dan biru. Aku bukan tak pernah cakap nak beli sendiri benda-benda tu. Tapi dengan selamba dia suruh aku simpan duit, dia kata duit dia cukup untuk tampung aku. Yelah, duit aku pun pinjaman dari kerajaan. Memang aku kena berjimat. Tapi dia tak pernah macam tu dengan aku. Dia beli saja apa yang aku nak. Aku? Aku hanya mampu beli barang untuk dia pada hari-hari yang istimewa saja.

Namun walau sebanyak mana pun dia berbelanja untuk aku, aku sedar dia memang sayang gila dengan aku.

______________________________

Dan bila aku sibuk sampai tak ada masa nak jumpa dia, dia masih akan tanya aku, “Wann sihat? Dah makan?”. Aku tahu. Hakikatnya dia rindu dengan aku. Aku tahu. Sebab aku juga sangat sangat sangat sangat sangat rindu dengan dia. Maklumlah dah lama tak jumpa, telefon pun jarang. Kerap mesej saja. Rasa macam nak peluk cium dia kuat-kuat dan tak nak lepas sampai infiniti. Dan hakikatnya bila dah jumpa, aku jadi segan. Peluk sekadar pelepas rindu saja.

Namun walau macam mana pun aku layan dia, aku sedar dia sayang gila dengan aku.

______________________________

Hari khamis ni, aku pergi jumpa dia. Aku tak tahu dia sedar tak aku di sebelah dia. Dia sakit. Doktor cakap dia sakit tenat. Dia dah tak sedarkan diri masa tu. Masa tu aku dah tak peduli. Aku menangis. Sebab aku tak tahan. Dada aku sakit. Aku menangis. Sebab rasa kesal selama ni aku tak pernah sempat nak cakap kata sayang tu kat dia. Aku menangis. Sebab aku tak pernah biar dia rasa sayang aku kat dia. Aku kuatkan hati. Aku bisikkan semuanya di telinganya.

“Mak, aku sayang kamu. Aku rindu kamu. Dan aku pohon maaf di atas segala kesilapan yang pernah aku lakukan padamu. Dan aku merelakan kau pergi.”

Memang. Memang aku rindu dia. Memang dada aku penuh dengan rasa kesal walau aku tau rasa kesal ni tak elok. Aku harap yang membaca dan pernah rasa akan faham perasaan ini.

Namun, walau macam mana sekalipun, aku nak dia tau yang aku juga sayang sayang sayang sayang sayang sayang sayang gila dengan dia.

Mak. Aku rindu sama kamu.

1 comment:

say- O said...

super-duper touching.