Warna langit sudah pun bertukar menjadi sedikit jingga.
Keriuhan petang itu sepertinya aku berada di sebuah stesen bas. Mungkin di
Bandar Baru Bangi, atau mungkin di Kulim, tapi boleh jadi di mana-mana saja.
Aku rasa di Kulim.
Terduduk aku di atas benteng penghadang di tepi jalan berhampiran dengan stesen bas itu. Di depan aku terdapat
sebuah kereta berwarna biru laut, atau kelabu aku tak pasti kerana warna langit membataskan penglihatan warnanya yang asal. Kereta Ford klasik 60’an masih
berada dalam keadaan gah sepertimana ia baru dibeli dulu.
Di sebelah aku terduduk dia,
seperti aku, sedang memandang panorama bumi di hadapan kami. Warna langit yang
jingga, keluasan jalan raya yang lapang, keriuhan manusia ke hulur ke hilir,
indahnya dunia, sentosanya bumi kita.
Terdapat sebuah kamera canggih di
tangannya, kemas dipegang dengan tali kamera disimpul di pergelangan tangannya
yang kurus.
“Kau nak tengok sesuatu?” soalnya kepadaku sambil dia bingkas bangun menghulurkan aku kamera canggihnya. “Cuba kau tengok
ni.”
Melalui lensa kamera canggih itu,
aku melihat panorama bumi Kulim. Ditekannya beberapa punat pada kamera itu,
maka berubahlah warna panorama hasil dari sentuhan kesan Sephia kemudian
Mangeta, kemudian Lomo dan seterusnya. Berbezanya warna dunia pada setiap sentuhan
kesan warna yang berlainan itu.
Diambilnya semula kamera
canggihnya itu sambil jari-jemarinya mengubah semula tetapan asal kamera itu,
sementara itu mata aku terpandang semula pada panorama bumi.
“Kau nak balik Alor Setar?”
soalnya lagi. “Dari sini petrol RM20 saja,” katanya sambil memandang ke arah
kameranya kemudian kembali memandang aku. Aku tak menjawab sambil
memandang mukanya yang sedikit tersenyum. Aku tak pasti sama ada dia serius
atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Tiba-tiba mata aku ditutup dengan
kain. Dunia aku gelap tapi aku tak takut. Kaki aku mula berjalan, sepertinya
aku sedang berada di atas sebuah mesin threadmill. Pada mulanya senang aku
berjalan, tiba-tiba, BAPP!! Kaki tersepak batu kecil menyebabkan aku hampir tersadung
tetapi aku berjaya mengimbangkan badan untuk terus berjalan.
Aku mula terasa memijak batuan
kecil, dan kadang-kala ada batu besar. Aku berjalan perlahan-lahan sambil cuba mengelak batu-batu itu. Kadang-kala ke kiri, kadang-kala ke kanan, kadang-kala
terkangkang luas mengelak bongkah batu. Lama kelamaan, aku seakan-akan dapat
melihat ruang litar mesin threadmill itu dan aku mula nampak batu-batu yang cuba aku elak. Batu kecil, batu besar, bongkah batu
yang besar dan kadang-kadang batu berbentuk tukul. Sekarang mudah sekali aku
mengelak semua batu-batu itu.
Tidak lama kemudian mesin threadmill itu terhenti dan kain pada mata aku dibuka. Tadi aku rasa dunia aku kecil
kerana ruang untuk aku berjalan di atas mesin threadmill itu sangat terhad. Kini
terhampar luas jalan raya seluas mata aku memandang. Tiada selekoh, tiada
simpang dan tiada halangan.
“Where do you go from here?” soalnya kepada aku. Ringkas.
Mataku terpandang padanya yang
sedang memandang ke arah panorama bumi di depan kami, kemudian mataku turut
memandang ke arah itu. Berdiri kami di situ memandang panorama bumi sehingga
warna bumi kelam tatkala warna jingga semakin pudar dan terus menghilang.
3 comments:
errr..ada maksud tersirat ke? -__-
sebenarnya aku mimpi cerita ni. haha. boleh tahan tak masuk akal. storyline direct dari mimpi.
cilake. inception versi kulim baq ang. hahahaha
Post a Comment