Tuesday, October 2, 2012

Cerita DOT #2 : Rumah di Pinggir Kampung 3


Daun pintu dikuak dari dalam.

Jantung Sham seolah-olah berhenti berdenyut melihat gerakan daun pintu. Bunyi geseran engsel pintu memecahkan keheningan waktu petang. Sham menahan nafas melihat susuk tubuh di hadapannya.

Seorang lelaki dewasa berada di celahan pintu di hadapan Sham. Badannya kurus kering, mukanya berkumis nipis dan matanya merah menyala seakan-akan mahu menelan segala keindahan dunia.

“Ya, nak cari siapa?” tanya lelaki itu pada Sham. Anehnya suara lelaki itu lembut dan menenangkan. Dia bertanya sambil tersenyum menampilkan giginya yang tersusun rapi.

Dada Sham bergoncang kuat akibat degupan jantungnya yang pantas. Dia yakin degupan jantungnya itu dapat didengar lelaki kurus di hadapannya itu.

“Assalamualaikum,” kata Sham sambil menghulurkan tangan kanannya. Pelipisnya mula memercik dengan peluh.

“Waalaikumusalam. Masuk la,” jemput lelaki itu setelah menyambut tangan Sham.

***

Dengan satu hela nafas yang berat segala cerita dan tujuan kehadiran Sham dan Diana diceritakan pada si lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Faizal. Faizal mendengar cerita Sham dengan teliti sambil mengangguk-angguk, sementara Diana hanya diam memerhati gerak-geri mereka.

Faizal memerhati gambar kuning lusuh yang dihulurkan kepadanya oleh Sham. Dia mengecilkan matanya, menyesuaikan diri dengan suasana rumah yang malap.

“Tak sangka saya ada adik lagi seorang,” kata Faizal sambil tersenyum pahit menampilkan riak wajah yang sudah serasi dengan kesusahan dan penderitaan.

“Saya minta maaf, bang,” kata Sham. Perkataan ‘bang’ yang dilafazkan jelas nampak kekok di bibirnya.

“Tak apa. Panggil Faizal je,” kata Faizal sambil membetulkan duduknya di atas tikar mengkuang lusuh di ruang tamu rumahnya.

“Sebenarnya dah lama saya tak dengar cerita pasal mak. Dah lebih 20 tahun pun. Masa mak pergi saya baru 10 tahun, rasanya. Ani masa tu baru 8 tahun,” jelas Faizal sambil menghulurkan potret kuning lusuh itu pada Sham kembali.

“Ani?” tanya Diana.

“Ani tu adik saya. Dia tak sihat. Rasanya awak berdua pun tahu dia sakit apa kan?” jelas Faizal pada Sham dan Diana dengan wajah bersahaja.

Hati Sham sebak mendengar Faizal mengatakan adiknya itu ‘tak sihat’ sedangkan kebanyakan orang lebih selesa dengan terma terencat atau Down Syndrome. Sham dan Diana mengangguk perlahan.

“Arwah mak dulu pergi sebab penyakit Ani ke?” tanya Sham pada Faizal. Entah dari mana dia mendapat kekuatan untuk bertanya soalan itu, akhirnya terpacul juga soalan yang menjadi tanda tanya dan tujuan dia berada di sini.

Senyuman Faizal pudar mendengar soalan Sham. Matanya memicing seolah mengenangkan saat paling derita dalam hidupnya. Tika dia mahu membuka mulutnya, sebuah suara terdengar dari sebalik dinding ruang tamu, berteriak seakan-akan memanggil.

“Maaf ya, duduk la kejap. Tu Ani, dia bising sikit bila dia bangun tidur saya tak ada,” jelas Faizal dengan pantas. Seraya itu dia bergegas masuk ke bilik yang berhampiran ruang tamu.

Suara Ani masih kuat bertempik, menjerit-jerit perkataan yang tidak dapat ditafsirkan Sham dan Diana. Serentak dengan itu satu suara lelaki mendayu-dayu menyanyikan lagu yang perlahan-lahan memadam jerit pekik Ani. Alunan suara lelaki itu menyebabkan bulu roma Sham meremang. Menenangkan tapi dalam masa yang sama turut menyeramkan.

Hampir 15 minit Faizal keluar dari bilik itu. Dia tersenyum nipis pada Sham dan Diana seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Seolah-olah kejadian itu adalah rutin hidupnya saban hari.

Dia duduk bersila di hadapan Sham dan Diana. Sambil mengela nafasnya dia memulakan bicara.

“Kau tanya apa tadi? Mak pergi sebab Ani? Jawapannya ya dan juga tidak,” jelas Faizal.

“Apa maksud kau?” tanya Sham tidak faham.

“Keluarga kita ni simpan banyak rahsia, Sham. Mungkin kau taknak dengar, tapi sebab kau datang dari jauh biarlah aku cerita segalanya pada kau,” kata Faizal dengan pantas.

Dalam satu hela nafas yang panjang, Faizal memulakan ceritanya.

to be..