Daun
pintu dikuak dari dalam.
Jantung
Sham seolah-olah berhenti berdenyut melihat gerakan daun pintu. Bunyi geseran
engsel pintu memecahkan keheningan waktu petang. Sham menahan nafas melihat
susuk tubuh di hadapannya.
Seorang
lelaki dewasa berada di celahan pintu di hadapan Sham. Badannya kurus kering,
mukanya berkumis nipis dan matanya merah menyala seakan-akan mahu menelan
segala keindahan dunia.
“Ya,
nak cari siapa?” tanya lelaki itu pada Sham. Anehnya suara lelaki itu lembut
dan menenangkan. Dia bertanya sambil tersenyum menampilkan giginya yang
tersusun rapi.
Dada
Sham bergoncang kuat akibat degupan jantungnya yang pantas. Dia yakin degupan
jantungnya itu dapat didengar lelaki kurus di hadapannya itu.
“Assalamualaikum,”
kata Sham sambil menghulurkan tangan kanannya. Pelipisnya mula memercik dengan
peluh.
“Waalaikumusalam.
Masuk la,” jemput lelaki itu setelah menyambut tangan Sham.
***
Dengan
satu hela nafas yang berat segala cerita dan tujuan kehadiran Sham dan Diana
diceritakan pada si lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Faizal. Faizal
mendengar cerita Sham dengan teliti sambil mengangguk-angguk, sementara Diana
hanya diam memerhati gerak-geri mereka.
Faizal
memerhati gambar kuning lusuh yang dihulurkan kepadanya oleh Sham. Dia
mengecilkan matanya, menyesuaikan diri dengan suasana rumah yang malap.
“Tak
sangka saya ada adik lagi seorang,” kata Faizal sambil tersenyum pahit
menampilkan riak wajah yang sudah serasi dengan kesusahan dan penderitaan.
“Saya
minta maaf, bang,” kata Sham. Perkataan ‘bang’ yang dilafazkan jelas nampak
kekok di bibirnya.
“Tak
apa. Panggil Faizal je,” kata Faizal sambil membetulkan duduknya di atas tikar
mengkuang lusuh di ruang tamu rumahnya.
“Sebenarnya
dah lama saya tak dengar cerita pasal mak. Dah lebih 20 tahun pun. Masa mak
pergi saya baru 10 tahun, rasanya. Ani masa tu baru 8 tahun,” jelas Faizal
sambil menghulurkan potret kuning lusuh itu pada Sham kembali.
“Ani?”
tanya Diana.
“Ani
tu adik saya. Dia tak sihat. Rasanya awak berdua pun tahu dia sakit apa kan?”
jelas Faizal pada Sham dan Diana dengan wajah bersahaja.
Hati
Sham sebak mendengar Faizal mengatakan adiknya itu ‘tak sihat’ sedangkan
kebanyakan orang lebih selesa dengan terma terencat atau Down Syndrome. Sham
dan Diana mengangguk perlahan.
“Arwah
mak dulu pergi sebab penyakit Ani ke?” tanya Sham pada Faizal. Entah dari mana
dia mendapat kekuatan untuk bertanya soalan itu, akhirnya terpacul juga soalan
yang menjadi tanda tanya dan tujuan dia berada di sini.
Senyuman
Faizal pudar mendengar soalan Sham. Matanya memicing seolah mengenangkan saat
paling derita dalam hidupnya. Tika dia mahu membuka mulutnya, sebuah suara
terdengar dari sebalik dinding ruang tamu, berteriak seakan-akan memanggil.
“Maaf
ya, duduk la kejap. Tu Ani, dia bising sikit bila dia bangun tidur saya tak
ada,” jelas Faizal dengan pantas. Seraya itu dia bergegas masuk ke bilik yang
berhampiran ruang tamu.
Suara
Ani masih kuat bertempik, menjerit-jerit perkataan yang tidak dapat ditafsirkan
Sham dan Diana. Serentak dengan itu satu suara lelaki mendayu-dayu menyanyikan
lagu yang perlahan-lahan memadam jerit pekik Ani. Alunan suara lelaki itu
menyebabkan bulu roma Sham meremang. Menenangkan tapi dalam masa yang sama
turut menyeramkan.
Hampir
15 minit Faizal keluar dari bilik itu. Dia tersenyum nipis pada Sham dan Diana
seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Seolah-olah kejadian itu adalah rutin
hidupnya saban hari.
Dia
duduk bersila di hadapan Sham dan Diana. Sambil mengela nafasnya dia memulakan
bicara.
“Kau
tanya apa tadi? Mak pergi sebab Ani? Jawapannya ya dan juga tidak,” jelas
Faizal.
“Apa
maksud kau?” tanya Sham tidak faham.
“Keluarga
kita ni simpan banyak rahsia, Sham. Mungkin kau taknak dengar, tapi sebab kau
datang dari jauh biarlah aku cerita segalanya pada kau,” kata Faizal dengan
pantas.
Dalam
satu hela nafas yang panjang, Faizal memulakan ceritanya.
to be..
2 comments:
DAMN it!!!
Kenapa DAMN?
Post a Comment