Sunday, September 16, 2012

Aku, Pintu Gril dan Sofa Biru Lusuh


Pintu gril itu masih berkunci. Aku jeling jam tangan warna hitam yang tersemat di pergelangan tangan kiriku. Pukul 10.10 pagi.

Aku mengeluh hampa dan marah. Janji bertemu jam 10 pagi di dalam ruang di sebalik pintu gril itu ternyata hanyalah warkah lisan yang tidak punya makna apa-apa.

Sofa berwarna biru lusuh yang terletak di hadapan pintu gril itu seolah-olah mengejek kehadiranku di sini.

Segera aku labuhkan punggungku di atas sofa itu untuk melepaskan segala kekecewaanku. Punat telefon bimbit kutujah bertalu-talu menghantar SMS pada mereka yang berjanji mengatakan aku sedang menunggu di atas sofa biru lusuh itu.

Aku benci menunggu. Bagi aku menunggu adalah satu pembaziran ruang dan masa. Malah, aku juga benci ruang menunggu. Bayangkan kalau ruang itu dimanfaatkan atas alasan yang lebih berfaedah dari menunggu yang langsung tak memberi apa-apa kesan.

Aku menunggu dalam sela masa 10 minit sebelum hatiku mula mengambil alih kewarasanku.

Lantas, aku bingkas bangun mengugut untuk beredar (sedangkan aku tahu jika aku beredar sekalipun tak ada apa yang dapat mengembalikan 10 minit yang sudah aku bazirkan itu). Aku melangkah ke arah tangga yang berhampiran.

Namun, di saat kaki aku pantas melangkah itu, aku dapat melihat sesuatu yang terselit di celah pintu gril itu. Aku mengenyitkan mataku untuk memandang dengan lebih jelas.

Oh.

Aku tersenyum sendiri. Ia terlalu kecil untuk dilihat orang lain. Tapi aku tahu, aku nampak ia.

Secebis kenangan.

Aku tersenyum lagi. Biarlah, aku akan terus menunggu. Aku akan terus menunggu pintu gril itu dibuka lantas meluahkan 1001 kenangan lagi.

fin

3 comments: