Monday, January 26, 2015

Monarki [26 Jan 2015]

Encik Vernon adalah seorang lelaki Perancis yang garang. Menurut khabar angin, perangai garang Encik Vernon itu kerana dia punya darah pendekar Perancis.

Encik Vernon mengusap misainya sambil memerhati Tuah, Jebat dan Lekir. Masing-masing berdebar melihat mata Encik Vernon.

"Hari ini aku akan ajar kamu semua erti kehidupan." Encik Vernon jerit kuat.

Mulut Tuah, Jebat dan Lekir melopong kagum melihat Encik Vernon, orang asing dari Eropah, cukup fasih berbahasa Melayu.

Ini satu perkara yang mengagumkan, jerit Tuah di dalam hati.

"Wahai, Encik Vernon. Sesungguhnya aku tak sangka kau, orang Perancis boleh bertutur bahasa Melayu dengan cukup fasih. Sungguh benarlah kata-kata bangsaku, mereka yang datangnya dari Barat memang genius!" Tuah tiba-tiba bersuara. Melihat reaksi Tuah, Jebat dan Lekir mengangguk tanda setuju.

Encik Vernon senyum puas.

Sebenarnya Encik Vernon asalnya dari Kuala Nerang, anak seorang petani Kuala Nerang dan guru yang berasal dari Perancis. Encik Vernon tidaklah segenius mana memandangkan dia tidak mengambil SPM.

"Kawan-kawan! Marilah kita ambil Encik Vernon selaku guru kita! Dia berasal dari Eropah, punya darah orang Perancis yang garang! Hanya dia selayaknya jadi guru kita!" Tuah jerit lagi penuh semangat.

"Yeargh!!" Jebat dan Lekir sahur jeritan Tuah.

Encik Vernon senyum lega. Sekali lagi keturunannya telah menyelamatkan hidupnya.

Patung [26 Jan 2015]

"Budak-budak perempuan Melayu ni pakai je tudung, tapi ramai yang perangai jalang. True story."

Ismeth tekan butang Enter dengan bergaya. Baru puas hati aku, getus hati Ismeth. Dia memang ikuti kisah artis Korea memeluk beberapa orang perempuan Melayu di atas pentas. Dan Ismeth, tanpa segan silu telah meluahkan pendapat beliau di media sosial dengan lantangnya.

Ismeth cukup pantang apabila melihat anak-anak muda menjual maruah bangsa. Tahun lepas Ismeth nyaris mengamuk melihat seorang gadis Melayu maki hamun seorang lelaki Cina di khalayak ramai. Sifat ganas gadis itu terserlah apabila dia cuba mengugut lelaki Cina itu menggunakan steering lock miliknya.

Muka Ismeth merah padam tahan geram. Dia kongsi video itu di laman Facebook dan mendoakan (di dalam status Facebook dia, tentunya) supaya gadis itu masuk penjara dan dirogol berulang kali.

Ismeth ukir senyum apabila tahu gadis itu dipanggil pihak polis untuk siasatan lanjut. Seolah-olah babak terakhir filem Breakfast Club, Ismeth, secara imaginari, mengangkat tangan tanda kemenangan.

Kali ini Ismeth mahu menang lagi. Dia mahu tahu identiti gadis yang dipeluk artis Korea itu. Ismeth mahu mereka menerima balasan kerana mencemar nama bangsa.

Ismeth terus jalankan tugas sebagai patung bangsa. Patung yang hanya melihat pada satu sudut dan arah.