"Budak-budak perempuan Melayu ni pakai je tudung, tapi ramai yang perangai jalang. True story."
Ismeth tekan butang Enter dengan bergaya. Baru puas hati aku, getus hati Ismeth. Dia memang ikuti kisah artis Korea memeluk beberapa orang perempuan Melayu di atas pentas. Dan Ismeth, tanpa segan silu telah meluahkan pendapat beliau di media sosial dengan lantangnya.
Ismeth cukup pantang apabila melihat anak-anak muda menjual maruah bangsa. Tahun lepas Ismeth nyaris mengamuk melihat seorang gadis Melayu maki hamun seorang lelaki Cina di khalayak ramai. Sifat ganas gadis itu terserlah apabila dia cuba mengugut lelaki Cina itu menggunakan steering lock miliknya.
Muka Ismeth merah padam tahan geram. Dia kongsi video itu di laman Facebook dan mendoakan (di dalam status Facebook dia, tentunya) supaya gadis itu masuk penjara dan dirogol berulang kali.
Ismeth ukir senyum apabila tahu gadis itu dipanggil pihak polis untuk siasatan lanjut. Seolah-olah babak terakhir filem Breakfast Club, Ismeth, secara imaginari, mengangkat tangan tanda kemenangan.
Kali ini Ismeth mahu menang lagi. Dia mahu tahu identiti gadis yang dipeluk artis Korea itu. Ismeth mahu mereka menerima balasan kerana mencemar nama bangsa.
Ismeth terus jalankan tugas sebagai patung bangsa. Patung yang hanya melihat pada satu sudut dan arah.
1 comment:
UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT
Post a Comment