Wednesday, June 18, 2014

Meraikan kepulangan anak emas.

"Aku ada kat Fareez Maju ni. Breakfast?"

Arif tersenyum ikhlas sambil bertanyakan pada kawan-kawan DOT di Facebook. Ramai yang marah kerana mereka bekerja, mustahil boleh ke Bangi pada hari Isnin kecuali Rohani. Tapi, Rohani pun dah menelan biskut dan coklat panas untuk sarapan pagi di biliknya.

Arif mengeluh kecewa. Tiada rezeki mahu berjumpa kawan-kawan hari ni. Masing-masing sudah besar, sudah bekerja mencari rezeki untuk sesuap nasi, kata hatinya.

Pling! Masuk notifikasi di handphone Arif.

Wann mengajak makan tengahari bersama di tengah kota di mana lebih ramai yang boleh sertai kumpulan kecil itu.

"Jumaat? Aku cuti!" tanya si hitam manis dan comel itu.

"Jumaat semayang Jumaat. Esok la bulih?" tanya Leha pula.

"Ijan dengan Arep ok? Pi bawak Kak Leha. Takut aku tak bulih." kata si comel itu lagi.

Senyap.

Arif masih menunggu jawapan adiknya. Jika adik ok, aku ok. Kalau dia nak balik, aku kena balik Kedah esok ni. Gumam Arif sambil main 2048 di handphone. Masih tak lepas dari nombor 128. Noob.

Esoknya Izan Whatsapp kawan-kawan, "Jadi ke lunch hari ni?"

"Aku balik Kedah hari ni. Maaf." balas Arif dengan mata yang berair. Keluarga perlu diutamakan. Dia perlu membawa adiknya pulang ke Kedah dengan selamat atas nama tanggungjawab.

"Semoga bergembira di ibu kota. Salam sayang dari Nepal." balas si tinggi lampai yang hitam.

**********************************

Sambil itu, Leha sudah pun di atas keretapi laju menyusur kota dengan harapan dapat makan tengahari bersama kawan-kawan. Terbayang-bayang wajah comel Wann, si kecil tapi berketak-ketak Izan dan rambut tajam Arif. Dan tak lupa juga nasi bertimbun, kuah penuh, ayam goreng sebagai santapan tengahari nanti.

Leha mengesat air liur ketika melangkah keluar dari gerabak keretapi menuju ke destinasi.

Dan sehingga kini, Leha masih menunggu ketibaan anak emas, Arif yang baru pulang dari United Kingdom.


















Dah ni je yang aku mampu tulis sambil bekerja dan terbayang-bayang nasi bertimbun kuah penuh ayam goreng.

Ada rezeki, kita jumpa lain kali *wink wink*

Wednesday, March 5, 2014

Ruang Sempadan

“Abang! Pi bersiap kaih!” 

Jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Penat main game sepanjang pagi, maklumlah, orang yang belum bekerjaya, maka aku melangkah kaki ke bilik air. Musim kemarau yang panas macam sekarang ni, kena selalu mandi. Nak elakkan strok haba. Haba dari monitor komputer. Juga haba dari smartphone yang tak pernah lekang dari tapak tangan.

Lega bila segala haba keluar dari hujung kepala ke hujung kaki. Rasa selesa yang amat, hanya boleh dirasa bila mandi sewaktu badan tengah penuh dengan haba. Mandi boleh membuatkan masa seperti bergerak perlahan. Mandi boleh membuat fikiran melayang jauh, berlegar di dunia fantasi, ruang yang tiada sempadan, tiada sekatan. Ruang yang membuat ramai manusia kecundang ke dalam lembah sia-sia, jika dibiarkan terbang jauh tidak tercapai, jika terbiar jauh menyelam memori semata-mata.

“Tap! Tap! Jangan duk buang ayaq! Lekaih la mandi!”

Panggilan yang diperlukan supaya aku tidak melayang jauh di bawah pancuran air tangki sejuk. Aku rasa tak sampai 10 minit pun lagi dalam bilik air ni. Tapi dah diketuk-ketuk pintunya. Aku deraskan mandian. Harap takkan ada ketukan pintu ke-2. Silap-silap nanti buka pintu, ada kuali terbang ke muka.

Baju warna purple menjadi pilihan hari ni. Dah lama baju ni. 2 tahun lepas agaknya kainnya dibeli dan dijahit di kedai jahit Pak Ya. Tapi masih lagi muat. Entah kain apa baju ni, tapi sejuk bila dipakai. Kemas rambut disikat, dicalit-calit pula baju dan tengkuk dengan wangian Khasturi. Wangian pilihan sejak kecil. Tak pernah bertukar. Wangian pilihan untuk hari yang mulia.

“Abang pi dulu!”

*****

Masjid Al-Burkhary. Dibina dan dinamakan oleh dan sempena Syed Bukhary. Dari penjual daging lembu, ke jutawan Muslim Malaysia. Tuan Syed Bukhary contoh orang yang mandi di dalam bilik air tapi tak berlegar jauh ke ruang fantasi yang sia-sia. Sempadan harus dibina dalam ruang fantasi. Sempadan cita-cita. Cita-cita yang boleh dicapai oleh kemampuan diri sendiri. Entah apa sempadan yang Tuan Syed Bukhary bina dalam ruang fantasinya, tapi ia membuatkan beliau berjaya.

Jam masjid menunjukkan 1.30 petang. Masih banyak ruang di dalam masjid. Anak-anak muda berkumpul asyik bersembang di atas motosikal di luar dataran masjid. Masih ramai yang tengah mencari parkir. Sempat juga yang membeli taufufa di depan pintu masuk jalan ke masjid.

Jam masjid berbunyi. 1.37 petang. Bilal melaungkan azan. Anak-anak muda masih lagi berborak sakan di luar sana. Tidak lama, khatib pun naik ke atas mimbar. Melihat hadirin Jumaat, mengambil sedikit nafas, dan melafazkan salam.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

Minggu ni, khutbah tentang ibu bapa. Belum sempat khatib mula baca khutbah, sudah ada hadirin yang mula menguap, dah ada yang ambil posisi nak melelapkan mata, tak kurang dah ada juga yang sudah berdengkur tersandar di dinding masjid. Namun, khatib tetap terus membacakan isi khutbah, walau sekali-sekala ternampak beliau menjeling ke arah hadirin yang tertidur.

Masa khutbah juga, ruang fantasi terbuka luas. Sekali-sekala akan jauh terbang, teringat tentang perkara lain. Tak kurang juga, tiba-tiba dapat idea untuk jawapan soalan kuiz 2 tahun lepas. Syaiton punya syaitan. Kena kuat melawan bisikan dan kembali mendengar khutbah yang kemudian berakhir dengan sepotong ayat.

“Allahumaghfirlii waliwaalidayya warhamhuma kama robbayaani soghiro”

*****

Berjalan pergi ke kereta setelah selesai solat Jumaat, akan melewati kawasan tanah perkuburan Masjid Al-Bukhary. Tanah perkuburan yang kemas, tersusun dan dijaga baik. Setiap minggu melalui kawasan ini, pasti ada saja liang lahad baru yang dikorek. Kadang-kadang satu, kadang-kadang dua dan seterusnya. Ada yang masih lagi basah dengan air yang dijirus selepas dikebumi, ada yang masih kosong menunggu jasad pemiliknya. Melewati kawasan tanah perkuburan, salam diberikan.

Tiba di tempat yang dituju. Sekali lagi salam diberikan. Melihat tanah dan rumput yang kemas dipotong, bersih, cuma sedikit daun yang mungkin baru gugur. Sambil dibaca surah Al-Fatihah, kelihatan beberapa hadirin Jumaat yang lain turut sedang menadah tangan membaca doa. Selesai surah dibaca, diangkat kedua tangan untuk aku panjatkan doa kepada-Nya.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau ampunilah dosa ayahku dan ibuku,
Ampunilah segala dosa mereka sejak mereka dilahirkan hingga saat mereka kembali kepada-Mu,
Kau lindungilah mereka dari azab api Neraka-Mu, serta dari seksaan kubur-Mu,
Kau tempatkanlah mereka ke dalam Syurga-Mu, dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau terimalah segala amal ibadah mereka, segala amalan mereka, segala taubat mereka,
Kau terimalah segala amalan dan amal ibadah kami, yang kami tujukan kepada mereka,
Kau rahmatilah kehidupan mereka di dunia, dan di akhirat kelak,
Engkaulah Tuhan kami yang Maha Pemurah, Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani.

Amin.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

*****

5 Mac 2014. 3.45 petang. Genap setahun Haji Abdul Rani bin Mohd Noor kembali bertemu Penciptanya. Semoga diterima segala doa dan tenang di sana menanti kami yang selebihnya.

Wednesday, February 26, 2014

Lif dan dua jiwa. Satu terasing.

Melati tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:55 pagi. Dia menunggu lif dengan sabar dengan beberapa orang yang lain. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9 sebelum segera ke belakang ruang lif. Kadang-kadang dia hanya meminta, "Tolong tekan tingkat 9, boleh?" dan biasanya diakhiri dengan terima kasih.

Selepas tingkat 6, Melati akan bersendirian di dalam lif dengan seorang jejaka. Wajahnya? Tak tahu. Bentuk tubuhnya? Kurus, mungkin. Kasutnya, hitam berkilat jenama Carlo Rino. Ya. Kasutnya sahaja yang Melati tahu kerana dia selalu memandang ke lantai dan kurang mendongak memandang manusia lain.

Setibanya dia di aras pejabat, Melati terus ke meja dan menghidupkan komputer. Bermulalah kerja Melati sebagai Akauntan. Lepas 5 minit dari jam 5:30, Melati akan mematikan komputer, menutup segala fail di atas meja dan menunggu lif dengan sabar. Melati pasti, apabila pintu lif terbuka nanti pasti ada seorang gadis dan seorang jejaka sedia ada dalam lif itu. Mungkin jejaka yang sama pagi tadi kerana dia juga memakai kasut hitam berkilat jenama Carlo Rino. Melati tinggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Melati setiap hari. Tak pernah berubah. Tak pernah.

*************************************

Adam tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:50 pagi. Dia menunggu gadis berkasut flat coklat gelap dengan sabar. Bila gadis itu tiba, dia cepat-cepat menghampiri gadis itu untuk menunggu lif bersama. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9. Hatinya berbunga apabila suara gadis itu kedengaran mengucapkan terima kasih padanya.

Selepas tingkat 6, Adam akan bersendirian di dalam lif dengan gadis itu. Wajahnya halus mulus dengan pipi yang penuh. Bentuk tubuhnya genit dan sedikit berisi sesuai dengan ketinggiannya. Wangiannya harum, tidak semerbak menyakiti hidung, cukup-cukup sahaja sebagai pewangi tubuh. Bagai nak pecah dada Adam apabila dia mahu menanyakan nama gadis itu. Tapi lidahnya kelu, tubuhnya kaku, walaupun nampak macho dengan kedua-dua tangan diseluk dalam kocek.

Setibanya di aras 9, Adam hanya mampu melihat gadis itu berlalu pergi. Sambil mengeluh, Adam menekan punat bernombor 7 dan menunggu dengan sabar lif bergerak ke aras pejabatnya. Selepas keluar dari lif, dia terus menuju ke meja kerja dan meneliti segala dokumen yang perlu dia tanda tangani. Bermulalah kerja Adam sebagai Pengurus Bahagian Pengeluaran.

Tepat jam 5, penghuni pejabat aras 7 segera menuju ke lif kecuali seorang manusia, Adam. Dia tekun duduk di hadapan komputer ditemani aplikasi FarmVille. Jam 5:30 baru lah dia masuk ke dalam lif yang menuju ke aras-aras atas. Lif akan berhenti di aras 13, masuk seorang gadis. Kemudian aras 9, masuk gadis berkasut flat coklat gelap. Adam senyum. Hatinya ingin sekali mengajak gadis itu keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Sekali lagi Adam melihat gadis itu berlalu pergi dan Adam meninggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Adam setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak pertama kali Adam terpandang gadis itu setahun yang dulu.

*************************************

"Kau balik pukul berapa Adam? Setiap kali aku nak balik mesti kau duk melangut lagi kat meja."
"5:30. Aku main FarmVille ah."
"Woi. Takde manusia dah yang nak main FarmVille. Ke kau nak rebut anugerah employee of the year? Dah habis office hour pukul 5 tu balik je lah kalau taknak jumpa hantu duduk sorang-sorang."

Adam sengih. "Takpe. Hantu tu lawa."























*************************************

Hanim menunggu lif di aras 13 pada jam 5:30 untuk pulang. Di dalam lif akan ada Encik Adam, Pengurus Bahagian Pengeluaran. Mereka sering berjumpa untuk mesyuarat tapi selaku setiausaha, dia merasa segan mahu menegur jejaka tampan itu.

Hatinya ingin sekali mengajak Encik Adam keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Seperti hari-hari yang lain, Hanim melihat sahaja jejaka itu berlalu pergi tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Hanim setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak dia bekerja di situ 9 bulan yang lalu.