Wednesday, March 5, 2014

Ruang Sempadan

“Abang! Pi bersiap kaih!” 

Jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Penat main game sepanjang pagi, maklumlah, orang yang belum bekerjaya, maka aku melangkah kaki ke bilik air. Musim kemarau yang panas macam sekarang ni, kena selalu mandi. Nak elakkan strok haba. Haba dari monitor komputer. Juga haba dari smartphone yang tak pernah lekang dari tapak tangan.

Lega bila segala haba keluar dari hujung kepala ke hujung kaki. Rasa selesa yang amat, hanya boleh dirasa bila mandi sewaktu badan tengah penuh dengan haba. Mandi boleh membuatkan masa seperti bergerak perlahan. Mandi boleh membuat fikiran melayang jauh, berlegar di dunia fantasi, ruang yang tiada sempadan, tiada sekatan. Ruang yang membuat ramai manusia kecundang ke dalam lembah sia-sia, jika dibiarkan terbang jauh tidak tercapai, jika terbiar jauh menyelam memori semata-mata.

“Tap! Tap! Jangan duk buang ayaq! Lekaih la mandi!”

Panggilan yang diperlukan supaya aku tidak melayang jauh di bawah pancuran air tangki sejuk. Aku rasa tak sampai 10 minit pun lagi dalam bilik air ni. Tapi dah diketuk-ketuk pintunya. Aku deraskan mandian. Harap takkan ada ketukan pintu ke-2. Silap-silap nanti buka pintu, ada kuali terbang ke muka.

Baju warna purple menjadi pilihan hari ni. Dah lama baju ni. 2 tahun lepas agaknya kainnya dibeli dan dijahit di kedai jahit Pak Ya. Tapi masih lagi muat. Entah kain apa baju ni, tapi sejuk bila dipakai. Kemas rambut disikat, dicalit-calit pula baju dan tengkuk dengan wangian Khasturi. Wangian pilihan sejak kecil. Tak pernah bertukar. Wangian pilihan untuk hari yang mulia.

“Abang pi dulu!”

*****

Masjid Al-Burkhary. Dibina dan dinamakan oleh dan sempena Syed Bukhary. Dari penjual daging lembu, ke jutawan Muslim Malaysia. Tuan Syed Bukhary contoh orang yang mandi di dalam bilik air tapi tak berlegar jauh ke ruang fantasi yang sia-sia. Sempadan harus dibina dalam ruang fantasi. Sempadan cita-cita. Cita-cita yang boleh dicapai oleh kemampuan diri sendiri. Entah apa sempadan yang Tuan Syed Bukhary bina dalam ruang fantasinya, tapi ia membuatkan beliau berjaya.

Jam masjid menunjukkan 1.30 petang. Masih banyak ruang di dalam masjid. Anak-anak muda berkumpul asyik bersembang di atas motosikal di luar dataran masjid. Masih ramai yang tengah mencari parkir. Sempat juga yang membeli taufufa di depan pintu masuk jalan ke masjid.

Jam masjid berbunyi. 1.37 petang. Bilal melaungkan azan. Anak-anak muda masih lagi berborak sakan di luar sana. Tidak lama, khatib pun naik ke atas mimbar. Melihat hadirin Jumaat, mengambil sedikit nafas, dan melafazkan salam.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

Minggu ni, khutbah tentang ibu bapa. Belum sempat khatib mula baca khutbah, sudah ada hadirin yang mula menguap, dah ada yang ambil posisi nak melelapkan mata, tak kurang dah ada juga yang sudah berdengkur tersandar di dinding masjid. Namun, khatib tetap terus membacakan isi khutbah, walau sekali-sekala ternampak beliau menjeling ke arah hadirin yang tertidur.

Masa khutbah juga, ruang fantasi terbuka luas. Sekali-sekala akan jauh terbang, teringat tentang perkara lain. Tak kurang juga, tiba-tiba dapat idea untuk jawapan soalan kuiz 2 tahun lepas. Syaiton punya syaitan. Kena kuat melawan bisikan dan kembali mendengar khutbah yang kemudian berakhir dengan sepotong ayat.

“Allahumaghfirlii waliwaalidayya warhamhuma kama robbayaani soghiro”

*****

Berjalan pergi ke kereta setelah selesai solat Jumaat, akan melewati kawasan tanah perkuburan Masjid Al-Bukhary. Tanah perkuburan yang kemas, tersusun dan dijaga baik. Setiap minggu melalui kawasan ini, pasti ada saja liang lahad baru yang dikorek. Kadang-kadang satu, kadang-kadang dua dan seterusnya. Ada yang masih lagi basah dengan air yang dijirus selepas dikebumi, ada yang masih kosong menunggu jasad pemiliknya. Melewati kawasan tanah perkuburan, salam diberikan.

Tiba di tempat yang dituju. Sekali lagi salam diberikan. Melihat tanah dan rumput yang kemas dipotong, bersih, cuma sedikit daun yang mungkin baru gugur. Sambil dibaca surah Al-Fatihah, kelihatan beberapa hadirin Jumaat yang lain turut sedang menadah tangan membaca doa. Selesai surah dibaca, diangkat kedua tangan untuk aku panjatkan doa kepada-Nya.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau ampunilah dosa ayahku dan ibuku,
Ampunilah segala dosa mereka sejak mereka dilahirkan hingga saat mereka kembali kepada-Mu,
Kau lindungilah mereka dari azab api Neraka-Mu, serta dari seksaan kubur-Mu,
Kau tempatkanlah mereka ke dalam Syurga-Mu, dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau terimalah segala amal ibadah mereka, segala amalan mereka, segala taubat mereka,
Kau terimalah segala amalan dan amal ibadah kami, yang kami tujukan kepada mereka,
Kau rahmatilah kehidupan mereka di dunia, dan di akhirat kelak,
Engkaulah Tuhan kami yang Maha Pemurah, Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani.

Amin.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

*****

5 Mac 2014. 3.45 petang. Genap setahun Haji Abdul Rani bin Mohd Noor kembali bertemu Penciptanya. Semoga diterima segala doa dan tenang di sana menanti kami yang selebihnya.

2 comments:

Mummy-san said...

Amin. Semoga Roh arwah ditempatkan ditempat orang yang beriman.

Anonymous said...

Alfatihah buat Arwah Encik Rani..
-wAHIDA