Showing posts with label Cerita dari Arif. Show all posts
Showing posts with label Cerita dari Arif. Show all posts

Wednesday, March 5, 2014

Ruang Sempadan

“Abang! Pi bersiap kaih!” 

Jam menunjukkan pukul 12.30 tengahari. Penat main game sepanjang pagi, maklumlah, orang yang belum bekerjaya, maka aku melangkah kaki ke bilik air. Musim kemarau yang panas macam sekarang ni, kena selalu mandi. Nak elakkan strok haba. Haba dari monitor komputer. Juga haba dari smartphone yang tak pernah lekang dari tapak tangan.

Lega bila segala haba keluar dari hujung kepala ke hujung kaki. Rasa selesa yang amat, hanya boleh dirasa bila mandi sewaktu badan tengah penuh dengan haba. Mandi boleh membuatkan masa seperti bergerak perlahan. Mandi boleh membuat fikiran melayang jauh, berlegar di dunia fantasi, ruang yang tiada sempadan, tiada sekatan. Ruang yang membuat ramai manusia kecundang ke dalam lembah sia-sia, jika dibiarkan terbang jauh tidak tercapai, jika terbiar jauh menyelam memori semata-mata.

“Tap! Tap! Jangan duk buang ayaq! Lekaih la mandi!”

Panggilan yang diperlukan supaya aku tidak melayang jauh di bawah pancuran air tangki sejuk. Aku rasa tak sampai 10 minit pun lagi dalam bilik air ni. Tapi dah diketuk-ketuk pintunya. Aku deraskan mandian. Harap takkan ada ketukan pintu ke-2. Silap-silap nanti buka pintu, ada kuali terbang ke muka.

Baju warna purple menjadi pilihan hari ni. Dah lama baju ni. 2 tahun lepas agaknya kainnya dibeli dan dijahit di kedai jahit Pak Ya. Tapi masih lagi muat. Entah kain apa baju ni, tapi sejuk bila dipakai. Kemas rambut disikat, dicalit-calit pula baju dan tengkuk dengan wangian Khasturi. Wangian pilihan sejak kecil. Tak pernah bertukar. Wangian pilihan untuk hari yang mulia.

“Abang pi dulu!”

*****

Masjid Al-Burkhary. Dibina dan dinamakan oleh dan sempena Syed Bukhary. Dari penjual daging lembu, ke jutawan Muslim Malaysia. Tuan Syed Bukhary contoh orang yang mandi di dalam bilik air tapi tak berlegar jauh ke ruang fantasi yang sia-sia. Sempadan harus dibina dalam ruang fantasi. Sempadan cita-cita. Cita-cita yang boleh dicapai oleh kemampuan diri sendiri. Entah apa sempadan yang Tuan Syed Bukhary bina dalam ruang fantasinya, tapi ia membuatkan beliau berjaya.

Jam masjid menunjukkan 1.30 petang. Masih banyak ruang di dalam masjid. Anak-anak muda berkumpul asyik bersembang di atas motosikal di luar dataran masjid. Masih ramai yang tengah mencari parkir. Sempat juga yang membeli taufufa di depan pintu masuk jalan ke masjid.

Jam masjid berbunyi. 1.37 petang. Bilal melaungkan azan. Anak-anak muda masih lagi berborak sakan di luar sana. Tidak lama, khatib pun naik ke atas mimbar. Melihat hadirin Jumaat, mengambil sedikit nafas, dan melafazkan salam.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

Minggu ni, khutbah tentang ibu bapa. Belum sempat khatib mula baca khutbah, sudah ada hadirin yang mula menguap, dah ada yang ambil posisi nak melelapkan mata, tak kurang dah ada juga yang sudah berdengkur tersandar di dinding masjid. Namun, khatib tetap terus membacakan isi khutbah, walau sekali-sekala ternampak beliau menjeling ke arah hadirin yang tertidur.

Masa khutbah juga, ruang fantasi terbuka luas. Sekali-sekala akan jauh terbang, teringat tentang perkara lain. Tak kurang juga, tiba-tiba dapat idea untuk jawapan soalan kuiz 2 tahun lepas. Syaiton punya syaitan. Kena kuat melawan bisikan dan kembali mendengar khutbah yang kemudian berakhir dengan sepotong ayat.

“Allahumaghfirlii waliwaalidayya warhamhuma kama robbayaani soghiro”

*****

Berjalan pergi ke kereta setelah selesai solat Jumaat, akan melewati kawasan tanah perkuburan Masjid Al-Bukhary. Tanah perkuburan yang kemas, tersusun dan dijaga baik. Setiap minggu melalui kawasan ini, pasti ada saja liang lahad baru yang dikorek. Kadang-kadang satu, kadang-kadang dua dan seterusnya. Ada yang masih lagi basah dengan air yang dijirus selepas dikebumi, ada yang masih kosong menunggu jasad pemiliknya. Melewati kawasan tanah perkuburan, salam diberikan.

Tiba di tempat yang dituju. Sekali lagi salam diberikan. Melihat tanah dan rumput yang kemas dipotong, bersih, cuma sedikit daun yang mungkin baru gugur. Sambil dibaca surah Al-Fatihah, kelihatan beberapa hadirin Jumaat yang lain turut sedang menadah tangan membaca doa. Selesai surah dibaca, diangkat kedua tangan untuk aku panjatkan doa kepada-Nya.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau ampunilah dosa ayahku dan ibuku,
Ampunilah segala dosa mereka sejak mereka dilahirkan hingga saat mereka kembali kepada-Mu,
Kau lindungilah mereka dari azab api Neraka-Mu, serta dari seksaan kubur-Mu,
Kau tempatkanlah mereka ke dalam Syurga-Mu, dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Kau terimalah segala amal ibadah mereka, segala amalan mereka, segala taubat mereka,
Kau terimalah segala amalan dan amal ibadah kami, yang kami tujukan kepada mereka,
Kau rahmatilah kehidupan mereka di dunia, dan di akhirat kelak,
Engkaulah Tuhan kami yang Maha Pemurah, Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani.

Amin.

“Assalamu’alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.”

*****

5 Mac 2014. 3.45 petang. Genap setahun Haji Abdul Rani bin Mohd Noor kembali bertemu Penciptanya. Semoga diterima segala doa dan tenang di sana menanti kami yang selebihnya.

Sunday, July 14, 2013

Misteri #1 DOT

#Pengenalan

Dato Onn's Theatre (harap tidak menyinggung mana-mana Dato yang masih hidup atau telah lama meninggal dunia) atau lebih dikenali dan kini sentiasa ingin dikenali sebagai DOT adalah satu kelab seni teater yang sentiasa dihantui pelbagai misteri dan kontroversi.

Kalau kita nak merungkai kat entri ni setiap satu misteri yang wujud dalam DOT, solat sunat terawih campur tazkirah akan habis lama sebelum habis 1/3 rungkaian sesuatu misteri . Kalau kat Pahang, mungkin 1/5 ja sempat rungkai misteri, sebab harom buat tazkirah.

Samada misteri kisah cinta berantai Palie, atau ke kontroversi lu-sapa-kacau-awek-gua? hinggalah ke misteri Arahtuju Kerjaya Kimie.

Namun dalam segala misteri itu, tiadalah yang lebih agung atau maha karya misterinya atau kalau dalam Pacific Rim, ia mungkin kategori misteri tahap rupa Kaiji peringkat akhir 'Penaklukan' yang tak ada dalam movie tu, selain dari misteri...

Monday, March 25, 2013

Membunuh Jack: The Plot

"Kapal bertolak 8.30AM. Suit ada dalam kabin nombor C-08." kata lelaki bermisai dan berjanggut lebat ini.

"Kau pasti dia ada dalam trip ni?" tanya aku.

Dia memandang tajam mata aku. Aku faham. Lalu beransur pergi.

***

Lepas aku terima tugasan aku dari Tuan Caledon, aku terus siasat latar belakang brother dalam gambar tu. Rupanya namanya agak masyur di kalangan penyiasat persekutuan. Dia dikejar atas pelbagai campurtangan untuk menggulingkan kuasa besar dalam organisasi kerajaan.

Aku tak tahu, dan tak perlu tahu apa kaitan Tuan Caledon dengan lelaki ini. Dasarnya, dia akan mati di tangan aku.

***

"Jack. Dia cuba selinap ke luar negara dengan sembunyi dalam kapal ni." kata Pegawai Spicer.

Spicer dah lama jadi kroni aku untuk maklumat dalam bank data persekutuan. Sebagai balasan, dia akan dapat beberapa peratus keuntungan bisnes kelab gay yang aku jalankan.

"Kalau kau boleh bawak aku pergi Bukit Bintang hujung bulan ni, well, mungkin, mungkin, aku dapat uruskan kemasukan kau dalam kapal ni." jawab Spicer sambil menghirup air teh hijau dari Gong Zhao.

"Consider it done." jawab aku dengan kacak.

"So, kau dengan Pa-" tersentak Spicer bila aku bertajam mata ke arahnya. Dia terus berkerut dan menahan dari terkencing.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, ada kapal tengah tunggu aku sekarang ni." kata aku. Tegas, bergaya, sambil bangun melibaskan jaket ke bahu dan terus keluar dari pejabat polis persekutuan itu.

***

Sudah hampir 3 hari aku mengekori Jack di atas kapal ini. Menyamar sebagai pegawai atasan kapal ini, memudahkan aku untuk ke mana saja dalam kapal ini.

Malangnya, orang terlalu ramai untuk aku bunuh Jack menggunakan pistol. Aku terpaksa fikirkan cara lain.

"Tuan kapten! Ada beberapa bongkah ais di hadapan kita. Macam mana? Kita nak terus mengelak atau berpusing?" tanya pegawai kanan 1 kepada Kapten James Smith.

"Lewati semua bongkah itu. Kapal tercanggih abad ni tak kan tak boleh elak bongkah ais?" jawab Kapten James Smith dengan gaya berlagak.

"Heh. Done.." bisik aku di dalam hati.


to be continue...

Membunuh Jack: Kes Yang Hilang

"Jack." "Jack, bangun Jack." "JACK!" "JAAAACCCKKKK!!!!"

Aku berada di situ bila ia berlaku.

Sejarah sebenar tentangnya tak pernah tercatat. Siapa yang mahu mencatat tentang peristiwa gelap itu? Jadi, sejarah tentangnya telah diputarbelit. Diputarbelit oleh pihak tertentu.

***

Semuanya bermula bila aku menerima panggilan dari orang kaya rumah bungalow di hujung pekan, Tuan Caledon. Setelah tersebar iklan tentang khidmat yang aku boleh berikan, beliau sangat ternoda dan terus menghubungi aku.

Aku tak suka sebenarnya orang hubungi aku di siang hari, ini bukan waktu kerja aku. Tapi untuk jejaka muda tampan seperti Tuan Caledon, aku beri kelonggaran buat sekali ini.

Tuan Caledon menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan aku pada hari Rabu itu, tapi aku terpaksa menolak dan berunding dengannya untuk bertemu pada malam Khamis esoknya.

Semua orang tahu, hari Rabu adalah movie day. Aku sibuk pada hari Rabu. Sibuk bertemu Pa-, teman. Teman baik aku.

***

Pada malam hari Khamis esoknya, aku pergi ke rumah bungalow Tuan Caledon dengan memakai singlet putih nipis serta boxer ketat, atas permintaannya. Orang gaji rumah bungalow buka pintu sejurus aku memetik loceng. Tuan Caledon gembira melihat kedatangan aku.

Beliau ingin melihat ketampanan otot aku, supaya beliau yakin aku dapat menjalankan tugas yang beliau akan berikan.

Aku ialah seorang bouncer. Lebih dari itu, aku seorang pembunuh upahan. Kurang dari itu, aku tukang jaga bontot orang. Bekerja setiap hari bermula 8 malam hingga 2 pagi kecuali hari Rabu. Tapi bila aku dah diberi job, aku akan laksanakan 24/7 penuh dedikasi.

Tak ada tugas yang aku tak pernah selesaikan. Sama ada melibatkan 1 nyawa, atau 1 nyawa dan beribu lain yang turut mati sebab 1 nyawa ini. Janji, tugas aku selesai.

Beliau berpuas hati. Terus menyerahkan aku satu sampul, penuh dengan kertas kerja, biografi, autograf, surat cinta, telegram- Beliau merampas semula sampul itu. Silap sampul.

Sampul yang sebenar diberikan. Cuma ada satu gambar di dalamnya.

"Oh. Brother ni. Apa kau mau aku uruskan brother ni?" tanya aku selamba.

"Cari dia, ikut dia, bunuh!" jawabnya tegas.

"The price?" tanya aku sambil bermain jambang.

"This.."


to be continue...

Thursday, September 27, 2012

Warna Langit


Warna langit sudah pun bertukar menjadi sedikit jingga. Keriuhan petang itu sepertinya aku berada di sebuah stesen bas. Mungkin di Bandar Baru Bangi, atau mungkin di Kulim, tapi boleh jadi di mana-mana saja. Aku rasa di Kulim.

Terduduk aku di atas benteng penghadang di tepi jalan berhampiran dengan stesen bas itu. Di depan aku terdapat sebuah kereta berwarna biru laut, atau kelabu aku tak pasti kerana warna langit membataskan penglihatan warnanya yang asal. Kereta Ford klasik 60’an masih berada dalam keadaan gah sepertimana ia baru dibeli dulu.

Di sebelah aku terduduk dia, seperti aku, sedang memandang panorama bumi di hadapan kami. Warna langit yang jingga, keluasan jalan raya yang lapang, keriuhan manusia ke hulur ke hilir, indahnya dunia, sentosanya bumi kita.

Terdapat sebuah kamera canggih di tangannya, kemas dipegang dengan tali kamera disimpul di pergelangan tangannya yang kurus.

“Kau nak tengok sesuatu?” soalnya kepadaku sambil dia bingkas bangun menghulurkan aku kamera canggihnya. “Cuba kau tengok ni.”

Melalui lensa kamera canggih itu, aku melihat panorama bumi Kulim. Ditekannya beberapa punat pada kamera itu, maka berubahlah warna panorama hasil dari sentuhan kesan Sephia kemudian Mangeta, kemudian Lomo dan seterusnya.  Berbezanya warna dunia pada setiap sentuhan kesan warna yang berlainan itu.

Diambilnya semula kamera canggihnya itu sambil jari-jemarinya mengubah semula tetapan asal kamera itu, sementara itu mata aku terpandang semula pada panorama bumi.

“Kau nak balik Alor Setar?” soalnya lagi. “Dari sini petrol RM20 saja,” katanya sambil memandang ke arah kameranya kemudian kembali memandang aku. Aku tak menjawab sambil memandang mukanya yang sedikit tersenyum. Aku tak pasti sama ada dia serius atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Tiba-tiba mata aku ditutup dengan kain. Dunia aku gelap tapi aku tak takut. Kaki aku mula berjalan, sepertinya aku sedang berada di atas sebuah mesin threadmill. Pada mulanya senang aku berjalan, tiba-tiba, BAPP!! Kaki tersepak batu kecil menyebabkan aku hampir tersadung tetapi aku berjaya mengimbangkan badan untuk terus berjalan.

Aku mula terasa memijak batuan kecil, dan kadang-kala ada batu besar. Aku berjalan perlahan-lahan sambil cuba mengelak batu-batu itu. Kadang-kala ke kiri, kadang-kala ke kanan, kadang-kala terkangkang luas mengelak bongkah batu. Lama kelamaan, aku seakan-akan dapat melihat ruang litar mesin threadmill itu dan aku mula nampak batu-batu yang cuba aku elak. Batu kecil, batu besar, bongkah batu yang besar dan kadang-kadang batu berbentuk tukul. Sekarang mudah sekali aku mengelak semua batu-batu itu.

Tidak lama kemudian mesin threadmill itu terhenti dan kain pada mata aku dibuka. Tadi aku rasa dunia aku kecil kerana ruang untuk aku berjalan di atas mesin threadmill itu sangat terhad. Kini terhampar luas jalan raya seluas mata aku memandang. Tiada selekoh, tiada simpang dan tiada halangan.

Where do you go from here?” soalnya kepada aku. Ringkas.

Mataku terpandang padanya yang sedang memandang ke arah panorama bumi di depan kami, kemudian mataku turut memandang ke arah itu. Berdiri kami di situ memandang panorama bumi sehingga warna bumi kelam tatkala warna jingga semakin pudar dan terus menghilang.