Wednesday, February 26, 2014

Lif dan dua jiwa. Satu terasing.

Melati tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:55 pagi. Dia menunggu lif dengan sabar dengan beberapa orang yang lain. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9 sebelum segera ke belakang ruang lif. Kadang-kadang dia hanya meminta, "Tolong tekan tingkat 9, boleh?" dan biasanya diakhiri dengan terima kasih.

Selepas tingkat 6, Melati akan bersendirian di dalam lif dengan seorang jejaka. Wajahnya? Tak tahu. Bentuk tubuhnya? Kurus, mungkin. Kasutnya, hitam berkilat jenama Carlo Rino. Ya. Kasutnya sahaja yang Melati tahu kerana dia selalu memandang ke lantai dan kurang mendongak memandang manusia lain.

Setibanya dia di aras pejabat, Melati terus ke meja dan menghidupkan komputer. Bermulalah kerja Melati sebagai Akauntan. Lepas 5 minit dari jam 5:30, Melati akan mematikan komputer, menutup segala fail di atas meja dan menunggu lif dengan sabar. Melati pasti, apabila pintu lif terbuka nanti pasti ada seorang gadis dan seorang jejaka sedia ada dalam lif itu. Mungkin jejaka yang sama pagi tadi kerana dia juga memakai kasut hitam berkilat jenama Carlo Rino. Melati tinggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Melati setiap hari. Tak pernah berubah. Tak pernah.

*************************************

Adam tiba di bangunan pejabat tepat jam 7:50 pagi. Dia menunggu gadis berkasut flat coklat gelap dengan sabar. Bila gadis itu tiba, dia cepat-cepat menghampiri gadis itu untuk menunggu lif bersama. Dalam lif, kadang-kadang dia menekan punat bernombor 9. Hatinya berbunga apabila suara gadis itu kedengaran mengucapkan terima kasih padanya.

Selepas tingkat 6, Adam akan bersendirian di dalam lif dengan gadis itu. Wajahnya halus mulus dengan pipi yang penuh. Bentuk tubuhnya genit dan sedikit berisi sesuai dengan ketinggiannya. Wangiannya harum, tidak semerbak menyakiti hidung, cukup-cukup sahaja sebagai pewangi tubuh. Bagai nak pecah dada Adam apabila dia mahu menanyakan nama gadis itu. Tapi lidahnya kelu, tubuhnya kaku, walaupun nampak macho dengan kedua-dua tangan diseluk dalam kocek.

Setibanya di aras 9, Adam hanya mampu melihat gadis itu berlalu pergi. Sambil mengeluh, Adam menekan punat bernombor 7 dan menunggu dengan sabar lif bergerak ke aras pejabatnya. Selepas keluar dari lif, dia terus menuju ke meja kerja dan meneliti segala dokumen yang perlu dia tanda tangani. Bermulalah kerja Adam sebagai Pengurus Bahagian Pengeluaran.

Tepat jam 5, penghuni pejabat aras 7 segera menuju ke lif kecuali seorang manusia, Adam. Dia tekun duduk di hadapan komputer ditemani aplikasi FarmVille. Jam 5:30 baru lah dia masuk ke dalam lif yang menuju ke aras-aras atas. Lif akan berhenti di aras 13, masuk seorang gadis. Kemudian aras 9, masuk gadis berkasut flat coklat gelap. Adam senyum. Hatinya ingin sekali mengajak gadis itu keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Sekali lagi Adam melihat gadis itu berlalu pergi dan Adam meninggalkan bangunan pejabat tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Adam setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak pertama kali Adam terpandang gadis itu setahun yang dulu.

*************************************

"Kau balik pukul berapa Adam? Setiap kali aku nak balik mesti kau duk melangut lagi kat meja."
"5:30. Aku main FarmVille ah."
"Woi. Takde manusia dah yang nak main FarmVille. Ke kau nak rebut anugerah employee of the year? Dah habis office hour pukul 5 tu balik je lah kalau taknak jumpa hantu duduk sorang-sorang."

Adam sengih. "Takpe. Hantu tu lawa."























*************************************

Hanim menunggu lif di aras 13 pada jam 5:30 untuk pulang. Di dalam lif akan ada Encik Adam, Pengurus Bahagian Pengeluaran. Mereka sering berjumpa untuk mesyuarat tapi selaku setiausaha, dia merasa segan mahu menegur jejaka tampan itu.

Hatinya ingin sekali mengajak Encik Adam keluar makan di gerai seberang jalan namun mulutnya degil, kelu, sehingga lah lif berhenti di aras lobi. Seperti hari-hari yang lain, Hanim melihat sahaja jejaka itu berlalu pergi tepat jam 5:35 petang.

Begitulah rutin Hanim setiap hari. Tak pernah berubah. Sejak dia bekerja di situ 9 bulan yang lalu.