Monday, December 31, 2012

Palie, Sebilah Pedang Samurai dan 6 Zombie Tangkas


Kata orang ada 6 tahap kesedihan (yang melibatkan kematian). Ianya bermula dengan kejutan, penafian, kemarahan, proses menawar, depresi dan penerimaan.

Palie tak tahu dendam berada di tahap yang mana. Dia cuma mahu membalas dendam di atas kematian isterinya.

Segalanya berlaku dengan terlalu cepat. Kematian Rozana tak sempat dia tanggisi, tak sempat dia ratapi.

Bau ros minyak wangi Rozana masih bermain di hidung Palie. Palie menghunuskan pedang samurai yang diambil dari loteng rumah. Pedang samurai itu berkilau di bawah sinar mentari. Cecair merah pekat menitis-nitis dan hujung pedang tersebut.

Pedang samurai yang ditempa pada era Meiji itu seakan-akan berdengung dahagakan darah. Enam zombie yang sedang meratah tubuh badan Rozana mengalihkan perhatian pada Palie. Konco-konco mereka - Kelawar Syaitan yang boleh memuntahkan asid - sudah habis dipancung oleh Palie. Hanya tinggal zombie tersebut.

Palie membuka baju kemejanya yang sudah berlumuran darah. Lukisan seekor naga sedang membaham ikan emas terukir di belakang badan Palie. Mata naga itu menyorot ganas memandang ke infiniti.

Palie membetulkan kekudanya. Pedang samurainya dihunus rapi. Air matanya sudah kering.

Palie bergerak laju. Zombie pertama tidak bersedia. Palie pancung tangan, kaki dan kepala dalam sekali jurus. Zombie kedua dan ketiga bergerak laju ke arah belakang Palie. Gigi dan kuku tajam dihunus pada Palie.

Palie melompat. Dia menghunus pedangnya dengan sepantas kilat! Bumi terbelah dua. Namun 3 zombie lagi sempat melompat ke udara.

Zombie keempat bergerak di utara menghampiri Palie. Palie sedar perlawanan di udara tidak akan memihak padanya. Lantas Palie hanya mampu bertahan semasa dipukul zombie tersebut.

Palie rebah. Tiga zombie tersebut mengepung Palie. Palie tenang.

"Kamu sudah terkena jurus 19 saat aku," kata Palie tenang. "5..4..3..2.."

Tiga zombie menerkam ke arah Palie. Palie tenang sambil memasukkan pedang samurai ke dalam sarungnya semula.

"1!!!!"

Tubuh badan ketiga-tiga zombie berkecai menjadi cebisan kecil.

***

Palie menghampiri tubuh isterinya. Palie tahu isterinya akan hidup semula menjadi zombie.

Palie menghunuskan pedangnya dan....


fin.

Wednesday, December 19, 2012

Cikgu Rohani



"ISKANDAR!!!!"


Tersentak Iskandar mendengar jeritan bingit yang dilaungkan dari pintu masuk kelas 5 Ekstravaganza. Dalam keadaan separa mamai Iskandar melompat ke belakang sambil membuka langkah silat. Matanya melilau mencari punca suara bingit yang hampir memecahkan gegendang telinga.

Di pintu masuk kelas 5E, berdiri dengan baju kurung warna kuning cair dengan corak pokok paku pakis warna hijau adalah Cikgu Rohani. Mata Cikgu Rohani menyorot ganas ke arah Iskandar menembusi kaca mata bingkai tebal yang dipakainya.

Seluruh kelas duduk terdiam merasakan aura marah Cikgu Rohani. Ismeth sudah mula kencing dalam seluar. Ilya pula dalam dilema mahu telan atau luah biskut Marie yang di dalam mulut. 

"Awak tidur eah?" Suara Cikgu Rohani ibarat getar sangkakala yang beralun membawa irama maut melintas ruang kelas 5E. Iskandar hanya mampu menelan air liur di rengkung.

"Dah. Pergi buat push up di luar!" arah Cikgu Rohani pada Iskandar.

Iskandar, jaguh gusti lengan peringkat sekolah, gangster 5 kawasan setempat dan juara lompat galah sebanyak 2 tahun berturut-turut hanya mampu menurut.

Iskandar berdiri di luar kelas. Matanya memandang Cikgu Rohani dengan nada protes. Cikgu Rohani membalas pandangan Iskandar. Sepintas lalu Iskandar meniarap melakukan tekan tubi.

***

"Ni hang awat berlengaih sangat ni? Kena denda pumping lagi?" tanya ayah Iskandar di sebalik surat khabar New Straits Time.

Iskandar hanya mendengus protes dan bergerak masuk ke dalam biliknya.

Iskandar menghempaskan beg galas yang terlukis gambar Goku di atas katil. Dari dalam bilik, dia dengar suara ayah dan ibunya sedang berbual.

"Awat dengan budak tu hari ni?"

"Tidoq dalam kelas lagi la bang."

"Hahaha, ya ka? Abang dulu tak pernah pun tidoq dalam kelas." Ayahnya cuba berlagak dengan ibunya. Iskandar tahu, ayahnya sedang tipu.

"Tipu lah. Bukan saya tak tahu perangai awak. Dia ikut perangai awak la tu."

"Eh, awat pula?"

"Itu la saya kata, bila dapat anak dulu tak elok bagi nama sama nama awak. Ni dah ikut perangai awak ni macam mana?"

"Alah, comel apa? Iskandar Zulkarnain Junior bin Iskandar Zulkarnain Senior."

Iskandar dapat membayangkan ibunya hanya menggelengkan kepala mendengar kata-kata ayahnya tu. Tapak kaki ibunya diatur ke arah biliknya. 

Tok. Tok. Tok.

"Is!!! Mandi dulu tau!!! Jangan tidur lagi!" jerit suara bingit yang mendendanya pagi tadi.

fin.

Wednesday, December 12, 2012

Bengkel Penulisan Kreatif


Tak semua orang boleh menulis. Tak semua orang nak menulis. Tak semua orang berpeluang untuk menulis.

Tapi jarang-jarang sekali kita berpeluang ke bengkel yang menyediakan ruang dan pendedahan dalam pelbagai platform penulisan. 

Hanya RM10, satu peluang yang jarang diberi.

**segala maklumat boleh hubungi nombor yang tertera pada poster

fin.