Sunday, September 30, 2012

Cerita DOT #2 : Rumah di Pinggir Kampung 2


Kereta Proton Saga Merah itu diparkir di hadapan rumah kayu itu. Rumah kayu itu jelas sudah tua dimamah usia, kayunya sudah berwarna perang gelap dan atap zinknya sudah berkarat sana-sini. Tiang simen yang menongkat rumah kayu ini sudah berwarna hijau gelap dek lumut yang tumbuh merata. Daun kering di serata laman membuktikan rumah ini jelas tidak dijaga.

Kedudukan rumah ini di pinggir kampung berhampiran dengan semak-samun dan hutan menyebabkan ia lokasi terbaik untuk sebarang imaginasi seram penduduk kampung. Namun bagi Sham, rumah usang di pinggir kampung ini menyimpan 1001 rahsia yang perlu dirungkai.

“You sure ke ada orang tinggal kat rumah ni, Sham?” tanya Diana seraya dia menutup pintu kereta Saga.

“This was all your idea, D,” kata Sham sambil tersenyum nipis. Takut, mungkin.

Kurang sejam sebelum ini, Sham menyimpan ragu sama ada mahu ke rumah usang ini ataupun tidak. Dia tidak mahu dibayangi memori kesilapan ibu kandungnya yang dia sayangi.

“So you nak balik? Kita datang all the way dari KL, and you nak balik?” teriak Diana di dalam ruang kereta Saga itu.

“I sebenarnya jealous dengan you tahu tak? You ada mak yang sungguh kuat. Ingat bila ayah you meninggal? Apa yang dia cakap? Life goes on. LIFE GOES ON, DUDE! So you nak balik KL, sulking all over again?” teriak Diana lagi. Mukanya merah padam menahan geram. Matanya berkaca menahan sebak.

Sham terdiam memandang stereng keretanya. Mulutnya membisu, kelu untuk berkata-kata.

Diana meletakkan tangan kanannya pada dada Sham.

“Mak you masih ada lagi, Sham. Dia ada kat sini. Sekarang you tanya dia, apa yang you patut buat sekarang. Be a coward or be a man like she raised you to be,” kata Diana perlahan. Titisan jernih mengalir halus di pipi tembamnya.

Dan itulah yang membawa Sham ke sini. Ke hadapan rumah usang yang menyimpan 1001 rahsia kehidupan ibunya.

Mungkin persoalan itu akan terjawab sebentar lagi. Mungkin jawapan persoalan itu adalah sesuatu yang tak ingin Sham tahu, tapi kata-kata ibunya masih tengiang-ngiang di telinganya. Life goes on, hidup mesti diteruskan. Ya, walau apapun terjadi hidup mesti diteruskan.

Bila dia terlibat di dalam kemalangan dan dia terpaksa mengulang satu tahun pengajian. Bila ayahnya meninggal akibat sakit jantung semasa meraikan hari jadi ibunya. Bila ibunya sendiri meninggal dunia setahun selepas pemergian ayahnya. Hidup mesti diteruskan.

Walau apa pun jawapan persoalan ini, hidup mesti diteruskan. Hidup akan diteruskan.

Sham merenung Diana sambil tersenyum. Gadis yang berperangai seakan lelaki itu dari kecil berada di sisinya, masih dan akan terus.

“What?” tanya Diana apabila Sham merenung kosong padanya.

“Tak ada apa-apa. I ingat balik nanti I nak masakkan you siakap 3 rasa,” jelas Sham sambil tersengih seraya dia mengalihkan pandangannya dari Diana.

“Heh, you reti masak ke masalahnya?” perli Diana sambil mencebik.

Sham tersenyum dalam diam. Kata-kata Diana 5 tahun lepas ketika mereka makan bersama di Medan Ikan Bakar masih jelas dalam memori Sham.

“Oh my god! Sedapnya, apa ni Sham?” tanya Diana yang pada ketika itu menyimpan rambut pendek seakan lelaki.

“Jangan la gelojoh sangat, gila. Ni la ikan siakap 3 rasa,” jelas Sham sambil tersenyum perli pada kawan karibnya itu.

“So its decided then. Mana-mana lelaki yang dapat masak siakap 3 rasa sedap macam ni, konfirm I kahwin dengan dia!” kata Diana sambil mengunyah laju ikan siakap 3 rasa di dalam mulutnya.

konfirm I kahwin dengan dia,’ kata-kata Diana pada masa itu masih jelas dalam ingatan Sham.

Sham menghela nafasnya sekali lagi. Memori dia dengan ibunya dan Diana mengukuhkan lagi langkahnya ke pintu rumah usang itu.

Dia menjeling pada Diana yang berada di belakangnya.

Perlahan-lahan daun pintu dikuak dari dalam.

to be..

Friday, September 28, 2012

Cerita DOT #2 : Rumah di Pinggir Kampung 1


“You tahu ke tempat ni, D?” tanya Sham sambil membetulkan tali pinggang keledarnya.

“I tahu area ni. Kampung ni I tak familiar. Alah, you jangan risau sampai sana kita tanya la orang,” jelas Diana sambil menelek cebisan kertas yang tercoret alamat.

“Hmmm, yelah,” kata Sham sambil menghidupkan enjin kereta Proton Saganya.

“You jangan la risau Sham. I yakin kita pasti dapat jumpa balik adik beradik you nanti.

Sham tersenyum pada Diana. Sejak ibunya meninggal dua minggu lepas, Sham mula hilang punca. Hidupnya menjadi tunggang terbalik, makan pakainya tidak dijaga. Nasiblah ada Diana, teman rapatnya dari kecil lagi.

Malah, baru-baru ini ketika peguam ibunya datang membaca wasiat dan membuka rahsia bahawa Sham punya seorang kakak dan abang yang berlainan bapa, Dianalah yang memberi cadangan pada Sham supaya dia pergi mencari adik beradiknya itu. Sham tahu tindakan Diana itu adalah untuk menyedarkannya bahawa dia bukan seorang dalam hidup ni. Tiada sesiapa ditakdirkan hidup seorang di dalam hidup ini.

“Tapi I pelik la, kenapa mak I tak bagi tahu pasal adik beradik I ni masa dia hidup? Even on her deathbed pun dia tak ada sebut pasal ni,” kata Sham sambil melurut pelipisnya dengan tangan kanan sementara tangan kirinya dibiarkan mengawal stereng keretanya.

“I don’t know. Maybe she had her reason,” jelas Diana. Mata mungilnya memandang Sham dari sisi. Rona kerisauan jelas terpapar di alis matanya.

“Yeah, reason.. Tapi apa?” tanya Sham.

Soalan itu hilang dimamah udara kerana mereka masing-masing bingung dengan tindakan ibu Sham. Mungkin benar dia ada alasannya sendiri.

***

Kereta Proton Saga itu diparkir serong di tepi jalan kecil. Di seberang jalan, terdapat sebuah kedai kecil yang padat dengan barangan runcit. Seorang lelaki berkulit sawo matang dengan tee shirt warna hitam melangkah keluar dari warung itu.

Langkahnya dilajukan ke arah Proton Saga merah seolah-olah ada perkara yang tidak boleh dinanti. Pintu bahagian pemandu Proton Saga itu dibuka dari luar dan lelaki itu lekas masuk ke dalam ruang kecil kenderaan itu.

Seorang gadis berambut pendek paras bahu yang sedang khusyuk membaca novel tersentak dengan kehadiran lelaki itu.

“So?” tanya si gadis.

“Dah dekat dah. Rumah tu hujung kampung ni je,” kata Sham pendek. Kata-katanya mati di situ. Matanya jauh merenung semak samun di hadapan keretanya, namun yang pasti fikirannya bukan di situ.

“So, jom lah,” ajak Diana.

“I tak rasa macam nak pergi la,” kata Sham pendek.

“Kenapa? Apa yang you dapat tahu? Tell me,” desak Diana.

Sham memandang Diana perlahan-lahan. Renungannya penuh dengan kepenatan (dan mungkin putus asa?)

“Pakcik kat kedai tu kenal mak I. Dia cakap yang ayah tiri I tu dah lama meninggal, so tinggal abang dengan kakak I je hidup berdua. Rupanya lama sebelum ayah tiri I tu meninggal, mak I lari dari rumah,” jelas Sham sambil mengeluh.

“Do you know why?”

“Kakak I tu ada Down Syndrome. Sebab tak larat jaga dia, mak I lari pergi KL.”

Suasana hening setelah Sham memberi penjelasan. Hanya bunyi pendingin hawa kereta yang kedengaran seolah-olah cuba memecahkan suasana kekok itu.

“You percaya ke?”

“I tak tahu nak percaya apa lagi, D. Mungkin inilah sebabnya mak I tak bagitahu pasal kakak dengan abang I, sebab dia malu!” tegas Sham, kedua tangannya menggenggam erat stereng keretanya, menahan rasa.

“So apa yang you nak buat sekarang?” tanya Diana pada Sham.

Sham menghela nafasnya perlahan-lahan. Apa yang patut dia buat sekarang?

to be..

Thursday, September 27, 2012

Somebody That We Used To Know


Entry ini pasti ramai yang tak suka. Tapi saya kisah apa, saya nak tulis jugak.

Semalam ada meeting kelab kebudayaan. Saya tak masuk pun meeting tu, sebab saya bukannya lagi budak KDO. Tapi saya sangat nak tahu tentang isi perjalanan meeting tu. Sebab apa? Sebab DOT adalah satu dari pecahan Kelab Kebudayaan. Eh bukan DOT, tapi Unit Teater. Whatever.

Jadi dari sedikit2 maklumat yang saya dapat kutip dari beberapa insan, point2 penting yang saya dapat adalah,


1. DOT tak ada junior tahun 1.

2. DOT tak ada pertandingan. Samada UKM memang dah haramkan pertandingan seni, ataupun KDO yang haramkan dari masuk pertandingan, saya tak tahu.


Untuk point yang pertama itu, banyak inferens dan telahan yang boleh dibuat. Tapi tak apa, saya akan menyembunyikan sifat hatred breeder saya yang famous nak mampus tu. Sama juga untuk point yang kedua itu.

Kesedihan di hati? Amat terasa kesedihannya. Orang2 tua macam saya, memang sensitif. Mungkin orang tua seangkatan saya juga terasa sedih, mungkin juga mereka cool saja. Apapun, saya memang sedih. For the first time, awal2 permulaan semester sudah tiada ahlul baru. Dugaan.

Anyway, apa yang boleh dibuat sekarang ini, cumalah keep calm and play Tekken/ Restauran Story/ FYP for Chemical Engineering/ Hamster. Kita go on sajalah dengan apa yang kita ada. Mungkin ini adalah the end, the real the end. Tapi dulu2 pun ada tilikan the end juga, tapi masih hidup sampai sekarang nampaknya. 
Mungkin masih boleh bernyawa nanti? Mungkin juga ada hikmahnya? Allah saja yang tahu...

Untuk junior2 yang membaca. Kalau ada apa2 ingin bertanya, tanyalah. Kalau perlukan pertolongan, hulurlah tangan memohon pertolongan. Disambut atau tidak, itu belakang kira ok.

Oh tambahan. Seumur hidup sepanjang 23 tahun di mukabumi ini, DOT adalah the best society yang saya jump in. Not even one other organisation that can be compared to DOT. But by the way it's going on now, saya rasa ia akan berubah dan pudar dan hilang identitinya secara perlahan2. Maka kembalilah saya dengan kenangan2 lama zaman dulu, bersama ahlul2 lama.

Sorry lah pada semua yang membaca sampai berkerut2 dahi. Inilah perangai orang tua. Dia banyak membebel.

Majulah DOT untuk diri kita. Bye2!


Warna Langit


Warna langit sudah pun bertukar menjadi sedikit jingga. Keriuhan petang itu sepertinya aku berada di sebuah stesen bas. Mungkin di Bandar Baru Bangi, atau mungkin di Kulim, tapi boleh jadi di mana-mana saja. Aku rasa di Kulim.

Terduduk aku di atas benteng penghadang di tepi jalan berhampiran dengan stesen bas itu. Di depan aku terdapat sebuah kereta berwarna biru laut, atau kelabu aku tak pasti kerana warna langit membataskan penglihatan warnanya yang asal. Kereta Ford klasik 60’an masih berada dalam keadaan gah sepertimana ia baru dibeli dulu.

Di sebelah aku terduduk dia, seperti aku, sedang memandang panorama bumi di hadapan kami. Warna langit yang jingga, keluasan jalan raya yang lapang, keriuhan manusia ke hulur ke hilir, indahnya dunia, sentosanya bumi kita.

Terdapat sebuah kamera canggih di tangannya, kemas dipegang dengan tali kamera disimpul di pergelangan tangannya yang kurus.

“Kau nak tengok sesuatu?” soalnya kepadaku sambil dia bingkas bangun menghulurkan aku kamera canggihnya. “Cuba kau tengok ni.”

Melalui lensa kamera canggih itu, aku melihat panorama bumi Kulim. Ditekannya beberapa punat pada kamera itu, maka berubahlah warna panorama hasil dari sentuhan kesan Sephia kemudian Mangeta, kemudian Lomo dan seterusnya.  Berbezanya warna dunia pada setiap sentuhan kesan warna yang berlainan itu.

Diambilnya semula kamera canggihnya itu sambil jari-jemarinya mengubah semula tetapan asal kamera itu, sementara itu mata aku terpandang semula pada panorama bumi.

“Kau nak balik Alor Setar?” soalnya lagi. “Dari sini petrol RM20 saja,” katanya sambil memandang ke arah kameranya kemudian kembali memandang aku. Aku tak menjawab sambil memandang mukanya yang sedikit tersenyum. Aku tak pasti sama ada dia serius atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Tiba-tiba mata aku ditutup dengan kain. Dunia aku gelap tapi aku tak takut. Kaki aku mula berjalan, sepertinya aku sedang berada di atas sebuah mesin threadmill. Pada mulanya senang aku berjalan, tiba-tiba, BAPP!! Kaki tersepak batu kecil menyebabkan aku hampir tersadung tetapi aku berjaya mengimbangkan badan untuk terus berjalan.

Aku mula terasa memijak batuan kecil, dan kadang-kala ada batu besar. Aku berjalan perlahan-lahan sambil cuba mengelak batu-batu itu. Kadang-kala ke kiri, kadang-kala ke kanan, kadang-kala terkangkang luas mengelak bongkah batu. Lama kelamaan, aku seakan-akan dapat melihat ruang litar mesin threadmill itu dan aku mula nampak batu-batu yang cuba aku elak. Batu kecil, batu besar, bongkah batu yang besar dan kadang-kadang batu berbentuk tukul. Sekarang mudah sekali aku mengelak semua batu-batu itu.

Tidak lama kemudian mesin threadmill itu terhenti dan kain pada mata aku dibuka. Tadi aku rasa dunia aku kecil kerana ruang untuk aku berjalan di atas mesin threadmill itu sangat terhad. Kini terhampar luas jalan raya seluas mata aku memandang. Tiada selekoh, tiada simpang dan tiada halangan.

Where do you go from here?” soalnya kepada aku. Ringkas.

Mataku terpandang padanya yang sedang memandang ke arah panorama bumi di depan kami, kemudian mataku turut memandang ke arah itu. Berdiri kami di situ memandang panorama bumi sehingga warna bumi kelam tatkala warna jingga semakin pudar dan terus menghilang.

Saturday, September 22, 2012

Cerita DOT #1 : Songsang


Suara dia terdengar lantang dari luar koridor. Aku tahu sekarang dia sedang di kamar mandi, mencuci pakaian kotornya sambil mendengar khusyuk lagu-lagu yang telah diisi di dalam MP3 Sony yang baru dibelinya.

Tali leher warna merah jambu segera aku jerutkan ke leher. Kasut hitam yang sudah aku gilapkan semalam aku pakai dengan sepantas kilat. Beg sandang yang terdampar di atas katil aku capai dan aku terus keluar bilik.

Langkahku disusun kemas ke arah tangga yang berhampiran kamar mandi. Keletak keletuk bunyi sepatu hitamku dipadamkan dek suara si dia yang lantang bernyanyi disahut dengan bunyi bilasan pakaiannya.

Aku memberhentikan langkahku di hadapan kamar mandi. Susuk tubuh dia jelas kelihatan dari belakang. Tuala merah lusuh yang dipakainya menampakkan warna kulitnya yang sawa matang. Susuk tubuhnya yang tegap mungkin adalah hasil senaman rutinnya setiap hari.

Air liur yang tersekat di rengkung aku telan. Sela 3 saat itu rasa paling lama dalam hidupku bila aku akhirnya boleh membuka mulutku dan menghamburkan kata-kata yang mudah itu.

“Basuh baju ke?”

Tersentak dengan suaraku, si dia lantas menoleh ke arahku menampakkan sebahagian dadanya yang tegap, berisi dan dipenuhi bulu-bulu jarang. Earphone yang ditekup di telinganya ditanggalkan tanda hormat mahu berbicara.

“Ha’ah. Pegi kelas ke?” balas si dia dengan satu soalan yang terang-terang sudah tahu jawapannya.

“Yup. Ada presentation. Erm, kejap lagi free tak? Lunch sama jom,” ajak aku sambil membetulkan beg sandangku. Sengaja aku menjauhi pandangannya kerana bimbang dia dapat menghidu debaranku sekarang ini. Dadaku berkocak kencang seolah-olah sedang digerudi dari dalam.

“Laa, sori. Dah ada plan la,” balas si dia sambil tersenyum menampakkan wajah kesal.

Aku tahu benar apa rancangannya. Pasti dia ingin bertemu janji dengan teman wanitanya, gadis kacukan Cina-Jawa yang super garang itu. Aku pun tak pasti entah apa istimewanya gadis itu sampai mampu menambat hati si dia.

“Kalau macam tu takpalah,” kataku sambil menjuihkan bibir.

Itulah nasibku. Nasib di dunia songsang, cinta pada yang tak patut dicintainya.

Sudah lama aku memendam rasa cinta ini pada si dia. Mungkin si dia tidak akan pernah sedar kehadiranku dan perasaanku ini. Tapi ini adalah jalan yang telah aku pilih. Dan aku terpaksa harunginya walau apa sekalipun.

Aku berpaling ingin menyusun langkah menuruni tangga. Mataku sudah mula berkaca menahan rasa sebak
.
“Erm dinner boleh la. Kita dinner kat mamak nak, Ismeth?”

Hatiku berbunga kembali tatkala si dia menyebut namaku. 

fin.

Thursday, September 20, 2012

Mula Dari Kosong

Betul ke dah tak ada yang buka blog ni? Betul ke dah tak ada yang baca blog ni?

Betul ke blog ni dah obsolete sekarang ni?

Mungkin betul.

Tapi rasanya tidak wajar blog ini ditutup atau ditinggal terus atas alasan 'mungkin' ini.

Jadi, mari mula dari kosong.

Sibuk, tak sempat tulis di sini tak apa. Aku akan usahakan untuk menulis di sini bila ada masa.

Insya Allah, ada idea dan line internet, atas nama label Cerita DOT aku akan berusaha untuk tulis satu dua cerita dalam sebulan di sini. Hanya untuk kita semua ambil masa jenguk di sini sama-sama.

Tak siapa tahu, dalam kekalutan kita mengejar dan dikejar, satu saat yang kita ambil untuk menjenguk sini adalah satu saat di mana hati kita semua berkumpul menjadi satu.

Romantis bukan rasa itu?

fin.

Sunday, September 16, 2012

Aku, Pintu Gril dan Sofa Biru Lusuh


Pintu gril itu masih berkunci. Aku jeling jam tangan warna hitam yang tersemat di pergelangan tangan kiriku. Pukul 10.10 pagi.

Aku mengeluh hampa dan marah. Janji bertemu jam 10 pagi di dalam ruang di sebalik pintu gril itu ternyata hanyalah warkah lisan yang tidak punya makna apa-apa.

Sofa berwarna biru lusuh yang terletak di hadapan pintu gril itu seolah-olah mengejek kehadiranku di sini.

Segera aku labuhkan punggungku di atas sofa itu untuk melepaskan segala kekecewaanku. Punat telefon bimbit kutujah bertalu-talu menghantar SMS pada mereka yang berjanji mengatakan aku sedang menunggu di atas sofa biru lusuh itu.

Aku benci menunggu. Bagi aku menunggu adalah satu pembaziran ruang dan masa. Malah, aku juga benci ruang menunggu. Bayangkan kalau ruang itu dimanfaatkan atas alasan yang lebih berfaedah dari menunggu yang langsung tak memberi apa-apa kesan.

Aku menunggu dalam sela masa 10 minit sebelum hatiku mula mengambil alih kewarasanku.

Lantas, aku bingkas bangun mengugut untuk beredar (sedangkan aku tahu jika aku beredar sekalipun tak ada apa yang dapat mengembalikan 10 minit yang sudah aku bazirkan itu). Aku melangkah ke arah tangga yang berhampiran.

Namun, di saat kaki aku pantas melangkah itu, aku dapat melihat sesuatu yang terselit di celah pintu gril itu. Aku mengenyitkan mataku untuk memandang dengan lebih jelas.

Oh.

Aku tersenyum sendiri. Ia terlalu kecil untuk dilihat orang lain. Tapi aku tahu, aku nampak ia.

Secebis kenangan.

Aku tersenyum lagi. Biarlah, aku akan terus menunggu. Aku akan terus menunggu pintu gril itu dibuka lantas meluahkan 1001 kenangan lagi.

fin