5:58AM.
Fudlee sudah pun terduduk di atas katil. Sudah menjadi rutin hariannya untuk bangun pada waktu ini. Sebenarnya, lebih tepat, untuk setiap manusia bangun pada waktu ini untuk bersolat.
Dengan separa sedar Fudlee menggerakkan kakinya yang masih lena untuk bersentuh lantai simen yang sejuk.
Bbzzz! Bzzz! Allahuakbar! Allahuakbar!!
Aplikasi azan ditelefonnya menyedarkan tentang masa, dan dia tahu dia perlu bergegas untuk pergi menunaikan solat dan menunaikan amanah majikannya. Tapi, itu bukan semuanya yang menyebabkan dia bangun awal 10 minit hari ini.
Diambil tuala dan bergeraklah dia ke bilik air. Tidak sabar untuk menempuhi ujian Tuhan pada hari ini.
***
6:14AM.
Setelah mengambil wuduk, sejadah dihamparkan mengadap kiblat. Selesai mengenakan pakaian tradisi yang menutup aurat, solat Subuh pada hari ini ditunaikan.
Doa yang panjang di waktu Subuh sudah menjadi kebiasaan, kerana waktu ini dikatakan doa lebih termakbul oleh Tuhan. Mungkin kerana ramai yang masih terlena dibuai mimpi dunia, membuka ruang lebih luas untuk doa itu didengari oleh yang Maha Esa.
Dipusingkan kepala dan terdongak ke atas, terlihat Al-Quran di atas rak buku. Difikir dua kali, memandangkan hari ini hari Sabtu, dia mengambil keputusan untuk membaca Al-Quran pada malam hari nanti lepas Isya.
Lalu dilipat kemas sejadah itu dan disidai di ampaian aluminium di dinding, dan dilipat juga kain telekung yang serba putih bersih.
Ain pergi membuka sedikit tingkap, membenarkan angin Subuh yang sejuk masuk menggantikan angin malam. Dihirup udara segar sedalam-dalamnya, dan dilepas hembusan itu perlahan-lahan. Dilihatnya keindahan alam yang masih gelap dari biliknya di aras 2, lalu Ain kembali berselimut di atas katil.
Dipejamkan mata sambil berzikir. Allah.. Allah.. Allah..
***
7:26AM.
Selesai mengumpulkan peralatan untuk bekerja, Fudlee berbincang dengan rakan sekerja tentang pembahagian tugas pada hari ini. Walaupun sebenarnya perbincangan ini tidak penting, tetapi masih menjadi protokol untuk setiap staf mengetahui bidang tugas masing-masing agar tidak ada bahagian yang tercicir.
Fudlee menjadi ketua untuk projek kerja pada hari ini. Dengan kuasa yang ada padanya, Fudlee sudah pun merancang tugasnya sejak semalam lagi agar menepati dengan perancangan yang dia telah tetapkan setiap kali dia menjadi ketua projek. Fudlee akan bertugas di blok 3.
Membawa peralatan untuk tugasnya, Fudlee bergerak ke blok 3. Blok 3 adalah blok yang baru dibina. Binaan bangunannya yang lebih moden berbanding blok lain memudahkan kerjanya. Sambil dia berjalan-jalan, dia menjeling-jeling ke laluan pejalan kaki, sekiranya ada gadis-gadis cantik sedang berjoging.
Hampa.
***
7:45AM.
Blok 3. Bangunan serba putih berselang cat jingga, rumput yang segar menghijau menambahkan lagi keindahan panorama blok ini.
Dikelilingi pokok-pokok besar, daun-daun tua luruh tatkala angin pagi menghembus walau lembut. Gugurnya daun-daun tua, ada yang tersangkut di atas pokok renek, ada yang terdampar di atas jalan dan selebihnya ke atas rumput yang hijau.
Sedikit bunyi bising mula kedengaran. Terlihat mak cik-mak cik Cleaner melewati pintu masuk blok itu, Fudlee menyapa mereka. Senyuman dan ketawa kecil dibalas untuk sapaan yang diberi. Fudlee mendongak ke atas dengan penuh harapan.
***
7:51AM.
Ain dikejutkan dengan suara mak cik-mak cik Cleaner yang kepoh. Terbuka mata memandang kipas yang berpusing perlahan. Badannya masih terasa malas untuk bangun, didodoi pula dengan angin pagi yang masih berhembus lembut.
Terdengar bunyian dari luar tingkap. Ain bangun untuk mendapatkan tudung. Ditutup aurat rambutnya. Bergerak Ain ke tingkap untuk meninjau suasana di luar bloknya.
***
Mata bertemu mata. Dua ciptaan agung Tuhan berpandangan dari dua sudut yang berbeza.
Ain dan Fudlee.
Tersenyum kecil Fudlee. Hati yang tadinya mati kini hidup, bebas, dan terpesona atas keindahan ciptaan agung Tuhan ini. Ain cuma memandang, lalu menutup rapat tingkap.
WUEEENNGGGG!! WUEENNGG!!!
Biarlah walaupun cuma hatinya yang akan terus berdoa untuk melihat lagi keindahan itu. Siapalah dirinya yang sekadar meniup daun-daun tua yang berguguran, mati menyembah bumi.